KOTA KINABALU: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan pendirian teguh dalam menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Semua presiden parti komponen di bawah GRS mengesahkan perkara itu hari ini, sambil menegaskan, GRS merupakan parti politik yang mempunyai jumlah ADUN paling banyak dalam DUN Sabah.

"Tindakan Ketua Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri membuktikan wujudnya gerakan awal yang telah dibuat bersama Parti Warisan (Warisan) untuk menggugat kestabilan politik di negeri ini.

"Tindakan ini adalah susulan daripada kegagalan perancangan awal mereka pada 5 Januari lalu.

"Bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak memberikan kesan terhadap kedudukan semasa Hajiji kerana keabsahan Ketua Menteri ditentukan melalui sokongan majoriti ADUN berpandukan kepada Perlembagaan Negeri.

"Beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan sebarang kenyataan media parti-parti politik tidak memberikan kesan dari sudut perundangan," kata mereka dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, mereka berkata, GRS turut menghargai sokongan yang disuarakan majoriti ADUN lain, termasuk sokongan kolektif ADUN Pakatan Harapan (PH), BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan ADUN dilantik.

"Komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat dan negeri seharusnya diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

"Sebarang gerakan untuk membentuk kerajaan dari pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya radalah tindakan yang mengkhianati mandat rakyat dan seharusnya ditolak," kata mereka lagi.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan ADUN GRS iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia.