KOTA KINABALU: Sokongan melalui kenyataan media oleh 35 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap dua Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentang pada persidangan khas DUN Sabah, hari ini tidak boleh diterima.

Kumpulan ADUN Barisan Nasional (BN), Parti Warisan (Warisan) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu dilaporkan tidak menghadiri persidangan DUN berkenaan.

Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata, sesuatu sokongan terhadap mana-mana usul di dalam DUN perlu dibuat di dalam dewan itu dan bukannya melalui kenyataan media.

"Semua sokongan perlu direkodkan dalam hansard bukannya melalui akhbar kerana apa yang mereka katakan di akhbar tidak direkodkan dalam hansard," ujarnya ketika ditemui di Pejabat Speaker DUN Sabah hari ini.

Ditanya mengenai sebab ketidakhadiran semua ADUN terbabit, Kadzim berkata beliau tidak tahu kerana tidak menerima sebarang permohonan ketidakhadiran.

Sebaliknya beliau berkata, hanya menerima satu permohonan daripada ADUN Usukan, Datuk Seri Mohd Salleh Said, sahaja.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka (ADUN) mengapa mereka tidak hadir, tidak menghantar permohonan untuk tidak hadir yang sepatutnya dibuat. Sebelum anda tidak hadir anda harus mempunyai kebenaran Speaker untuk berbuat demikian," tambah Kadzim.

Malah, katanya beliau tidak pernah menolak mana-mana permohonan ADUN untuk tidak hadir ke DUN sekiranya diberi surat permohonan.

Terdahulu, 13 ADUN BN Sabah, Warisan (19), KDM (tiga) dilaporkan tidak hadir di DUN Sabah sewaktu pembentangan RUU Suruhanjaya Tenaga 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023. Mereka kemudian hanya menyatakan sokongan melalui kenyataan media.

Meskipun begitu, kedua-dua RUU tersebut berjaya diluluskan dengan sokongan 44 ADUN sekali gus memberi kemenangan moral kepada Hajiji setelah berdepan 'kemelut politik' sepanjang hampir dua minggu.

Sementara itu, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, menyifatkan ketidakhadiran kumpulan terbabit mengecewakan.

Beliau berkata, kedua-dua RUU itu sepatutnya menjadi perjuangan bersama dan diberi keutamaan oleh semua ADUN terbabit kerana merupakan agenda penting rakyat Sabah, seperti dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana menyarankan ini adalah agenda penting bagi negeri Sabah dan mesti diluluskan, dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah.

"Tapi saya kecewa sebelah sana (meja pembangkang seorang pun tidak ada). Sepatutnya ini menjadi keutamaan tapi saya minta maaf, saya rasa ini kawan juga.

"Saya bukan mengungkit tapi sepatutnya kita sama-sama memperjuangkan kerana ia kepentingan rakyat sabah," ujarnya ketika membahaskan RUU Suruhanjaya Tenaga 2023 di DUN Sabah pada Selasa.

Tindakan 35 ADUN tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil pertemuan yang diadakan antara Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor; Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Anwar pada malam semalam.

Namun, tiada sebarang perincian dikongsikan kepada media hasil pertemuan tersebut selain kenyataan sokongan Anwar terhadap Hajiji serta nasihat agar Kerajaan Perpaduan di negeri bawah bayu itu diperkukuhkan bersama Warisan dan BN.

Bung hari ini dalam satu kenyataan berkata, sebahagian besar ahli UMNO Sabah tidak akan hadir ke mesyuarat khas di DUN bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan di Semenanjung.

Shafie pula berkata, ADUN Warisan membuat keputusan untuk tidak hadir dan menggesa agar jawatankuasa khas ditubuhkan segera bagi memperincikan bentuk Kerajaan Perpaduan yang disarankan Perdana Menteri.