SHAH ALAM : Tindakan pengguna Twitter yang memuat naik templat poster ucapan takziah tanpa gambar di media sosial itu boleh dianggap bertentangan dengan adab orang Melayu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengguna Twitter berkenaan sepatutnya memelihara adab dan mendoakan perkara yang baik walaupun berbeza pandangan dan politik.

"Doakan yang baik, adab harus dipelihara walau berbeza pandangan dan politik," ciap Menteri Besar di laman Twitternya pada Ahad.

Terdahulu, pengguna Twitter itu memuat naik ucapan takziah di laman Twitternya dan meminta pengguna laman sosial itu mencadangkan gambar sesuai untuk diletakkan pada templat posternya itu.

Berikutan itu, ciapan pengguna Twitter terbabit mendapat kecaman banyak pihak termasuk Amirudin.

Ciapan itu turut muncul selepas media sosial itu dibanjiri dengan ciapan perkongsian berhubung keadaan kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merosot dan sedang dirawat di hospital. - Sinar Harian