SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu telah mendapat persetujuan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"PH Negeri Sembilan tempoh hari telah memutuskan untuk bertanding di kesemua kerusi DUN, jadi kita juga akan mengambil langkah yang sama.
"Pembahagian kerusi turut melibatkan parti MCA dan MIC, manakala jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti akan diputuskan kemudian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
BACA: BN tak tutup pintu rundingan agihan kerusi - Zahid Hamidi
Beliau berkata, UMNO Negeri Sembilan juga hampir selesai menyenarai pendek calon bagi setiap bahagian dan kini dalam proses saringan, sebelum dihantar kepada pucuk pimpinan parti.
Menurutnya, 95 peratus calon sedia ada dijangka dikekalkan, namun beberapa perubahan akan dilakukan termasuk menampilkan muka baharu.
"Jentera kita semuanya sudah bersedia termasuklah soal pemilihan calon yang perlu melalui proses saringan sebelum senarai nama diserahkan kepada presiden bagi menentukan calon yang terbaik untuk bertanding," katanya.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada Jumaat bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Pada PRN Ogos 2023, BN-UMNO menang 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.
PH pula menguasai 17 kerusi menerusi kemenangan 11 kerusi oleh DAP, lima kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu kerusi oleh Parti Amanah Negara (Amanah). - Sinar Harian