KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) masih membuka ruang rundingan bersama rakan-rakan parti berhubung agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan yang akan datang.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Pakatan Harapan (PH) menyatakan akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN tidak menutup pintu perbincangan.
“Negeri Sembilan, Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) telah mengumumkan mereka akan bertanding seluruh 36 kerusi DUN, dan BN kita masih membuka pintu dan juga tidak menutup pintu serapat-rapatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 di Dataran Putrajaya, pada Sabtu.
DUN Negeri Sembilan secara rasmi dibubarkan pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan sebelum ini dilaporkan berkata pembahagian kerusi telah diselesaikan, dengan gabungan itu akan bertanding di semua 36 kerusi.
Dalam pada itu, mengulas perkembangan di Johor, Ahmad Zahid berkata rundingan agihan kerusi BN di negeri berkenaan hampir dimuktamadkan dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam tempoh terdekat.
Beliau memaklumkan perbincangan bersama parti komponen BN termasuk MCA dan MIC akan diadakan pada Ahad bagi memuktamadkan pembahagian kerusi.
“Untuk UMNO, hampir-hampir selesailah. Insya-Allah dalam minggu depan, kita akan memuktamadkan sepenuhnya dan kita akan umum seminggu sebelum tarikh penamaan calon,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menambah, BN telah memutuskan untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor.
DUN Johor dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 2 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor.
Pengumuman pembubaran itu dibuat oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menghadap Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.