POLITICS
PRK Ayer Kuning: Tun Faisal sanggah saranan penganalisis agar Muhyiddin letak jawatan

Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata kekalahan PN di PRK DUN Ayer Kuning tiada kaitan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kekalahan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April tidak sepatutnya dikaitkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata Pengerusi PN tidak terlibat sepenuhnya semasa kempen PRK DUN Ayer Kuning dan operasi kempen dijalankan secara berbeza.
“Ramai profesor, pensyarah kanan, yang bagi analisis murahan, saya panggil 'kangkung'lah... 'kangkung' di tepi longkang
“Cuba jangan kaitkan PRK DUN Ayer Kuning dengan Muhyiddin sebab beliau tidak terlibat sepenuhnya,” katanya.Menurut Tun Faisal, walaupun kemenangan Barisan Nasional (BN) sudah dijangkakan memandangkan ia merupakan kubu kuat mereka, namun undi orang Melayu kepada PN meningkat.
“Walaupun di kubu kuat BN tetapi mereka hilang undi sebanyak 15.5%, iatu 5,000 undi orang Melayu, sebaliknya PN bertambah undi sekitar 7.9%,” katanya lagi.
Tun Faizal menjawab kritikan Pensyarah Kanan Universiti Malaya Mohammad Tawfik Yaakob semasa wawancara The Tiger Show Podcast yang dihoskan oleh wartawan veteran Amin Iskandar.
Menurut Tawfik, walaupun Bersatu tidak bertanding di PRK DUN Ayer Kuning, tetapi pergolakan Bersatu di DUN Perak menggambarkan wujud kelemahan kepimpinan Muhyiddin yang begitu serius dan telah memberi kesan kepada kempen pilihan raya.
Malah beliau turut menyarankan agar Presiden Bersatu itu meletakkan jawatannya selaku Pengerusi PN bagi memberi peluang kepada generasi baharu memimpin pembangkang.
Tawfik berkata demikian semasa wawancara khas bersama Astro AWANI pada malam kiraan undi bagi menentukan ADUN baharu bagi PRK Ayer Kuning pada Sabtu.
Media melaporkan Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menghantar sepucuk surat kepada Pejabat Speaker DUN Perak bagi permohonan mengubah susun atur tempat duduk blok pembangkang.
Jelas Ahmad Faizal, memandangkan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin meletak jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak diganti dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi, perubahan tempat duduk mesti dibuat atas dasar hierarki.
Pada 26 April, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN, Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi, menewaskan calon PN Abdul Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami