MUAR: Keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram disifatkan memberi laluan mudah kepada Perikatan Nasional (PN) menambah sokongan khususnya pengundi atas pagar.

Calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, keputusan terhadap Presiden UMNO itu juga secara tidak langsung memberi pilihan mudah kepada pengundi termasuk bukan Islam untuk memilih parti yang lebih layak mentadbir.

“Ini sebenarnya bukan 'senjata' kita, tetapi kita panggil itu sebagai 'peluru' mereka sendiri kerana contohnya kalau kita bertanding perlawanan bola sepak... ia ibarat  pemain mereka menendang bola ke gawang sendiri.

“Ia memberi keuntungan kepada kita sebenarnya sebab masalah yang kita bangkitkan ialah antirasuah, kita menentang rasuah selama ni dan selama 20 tahun DAP dan PKR yang (lantang) menganjurkan ‘good governance’, tiba-tiba pada sekarang 'dibakulsampahkan' oleh kerajaan pada hari ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau yakin keputusan yang diibaratkan sebagai satu signal yang salah oleh Kerajaan Perpaduan itu akan mempengaruhi pengundi dan memberi kesan positif kepada PN bukan sahaja di DUN Simpang Jeram, sebaliknya di Parlimen Pulai juga.

Malahan dakwanya, berdasarkan dapatan awal sepanjang tempoh berkempen, kira-kira 70 peratus pengundi di DUN Simpang Jeram yang dahulunya memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan beralih kepada PN.

“Kita juga percaya jumlah ini akan meningkat terutamanya di kalangan pengundi-pengundi yang bukan Islam yang mana dia akan meningkat sama ada (peratusan) mereka keluar mengundi ataupun mereka akan mengundi kepada kita (PN),” ujarnya.

Mengulas gerak kerja minggu terakhir berkempen, beliau memaklumkan akan memastikan peratusan keluar meengundi kali ini lebih tinggi berbanding beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

“Memasuki pecutan terakhir ini kita sudah (berjumpa) hampir 95 peratus pengundi berdasarkan gerak awal kerja dan sekarang ini kita akan cuba selesaikan baki lima peratus lagi.

“Pada saya kami perlukan seberapa ramai pengundi keluar sebab dia akan menentukan kemenangan (kerana) kalau peratusan keluar mengundi itu agak rendah, sukar (untuk kami) berikutan kedudukan di Simpang Jeram ini boleh dikatakan lebih kurang 50-50,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram kali ini, Dr Mohd Mazri bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nazri Abdul Rahman dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.

Untuk rekod DUN Simpang Jeram mempunyai 40,488 pengundi yang terdiri daripada 21,005 Melayu (51.87 %), 18,052 (44.58 %), 1,027 India (2.53 %) dan lain-lain bangsa 404 orang (0.99 %).