SHAH ALAM: Kemenangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu membuktikan referendum rakyat terus berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dengan meraih majoriti lebih besar sebanyak 37,220 undi yang mewakili sokongan 70 peratus pengundi di kerusi berkenaan bukan sahaja menunjukkan penerimaan terhadap kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Malah menurutnya, ia juga mengesahkan momentum sokongan menaik kepada PN dalam beberapa siri PRK pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk di Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Pelangai.

“Pas mengucapkan setinggi-tinggi syukur kepada ALLAH SWT dan jutaan terima kasih kepada para pengundi atas kemenangan lebih besar Ahmad Samsuri.

“Terima kasih juga buat petugas dan penyokong parti, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan serta agensi terlibat dalam menjayakan PRK bagi memastikan ia berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Samsuri menewaskan pencabarnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerusi pertembungan satu lawan satu.

Naib Presiden Pas tersebut memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 27,778 undi.

Sementara itu, Takiyuddin menjelaskan, pengekalan status quo parti Pas di Kemaman adalah referendum penolakan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Dakwanya, ia menunjukkan kerajaan gagal memperoleh sokongan dan kepercayaan masyarakat meskipun sudah satu tahun memegang tampuk pemerintahan.

“Dalam konteks PRK Kemaman ini, undi calon PH-BN sebanyak 27,778 yang mewakili sokongan 30 peratus adalah jauh lebih rendah berbanding undi PRU15 lepas, iaitu masing-masing sebanyak 8,340 dan 38,535 undi mewakili sokongan 41 peratus.

“PH-BN bukan sahaja gagal meraih sokongan baharu, tetapi terus hilang sokongan pernah dinikmatinya sebelum ini berdasarkan penurunan ketara yang dicatatkan di Kemaman.

“Selain faktor kecelaruan pentadbiran, Pas percaya keputusan PRK Kemaman kali ini juga merupakan penolakan pengundi terhadap ‘politik dana peruntukan’ dan helah tidak bermaruah digunakan Putrajaya untuk paksa serta buli ahli Parlimen pembangkang serta kerajaan negeri yang tidak sehaluan supaya tunduk atau menyokongnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, pihaknya kekal komited kepada politik matang, bermaruah dan demokratik bukan sahaja sebagai pembangkang di Parlimen, malah sebagai kerajaan di negeri kerana percaya ia pendekatan terbaik untuk kepentingan negara serta rakyat.

“Pas juga bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat nasional apabila berkehendak susulan kegagalan berterusan Putrajaya untuk memastikan rakyat dan negara dilindungi daripada kesan negatif tindak-tanduk sendiri,” jelasnya lagi. -Sinar Harian