KEMAMAN: Pas perlu menang besar pada Pilihan Raya Kecil (Kemaman) sebagai isyarat penolakan kepada UMNO yang masih diterajui presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bendahari Pas Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah menyeru pengundi di parlimen tersebut terutama ahli UMNO supaya mengundi Pas pada pilihan raya kali ini untuk memberi mesej ketidakpuasan hati kepada parti berkenaan yang sudah lari daripada perjuangan asal susulan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Menurutnya, kemenangan Pas pada PRK Kemaman menunjukkan bahawa Ahmad Zahid sudah ditolak oleh ahli UMNO, sekali gus bakal membawa kepada perubahan parti tersebut khususnya nakhoda yang kini menerajui parti berkenaan.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, sebahagian dari calon dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bekerjasama dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) namun tiba-tiba Ahmad Zahid mengetepikan kesediaan ahli Parlimen UMNO untuk berbaik kerana dia ada hubungan (kerjasama) dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dia (Ahmad Zahid) membawa UMNO bergabung dengan DAP malah saya yakin bahawa hari ini ahli-ahli UMNO sendiri dan sebahagian besar pemimpin UMNO tidak berpuas hati serta tidak bersetuju. Tetapi bagaimana mereka (UMNO) nak jadikan bahtera mereka sendiri bergerak pada hala tuju yang tepat mengikut perjuangan mereka.

"Jadi mereka mesti tukar kapten atau nakhoda mereka. Cara nak tukarnya adalah menunjukkan keyakinan kepada seluruh rakyat dan pengundi bahawa Ahmad Zahid telah ditolak oleh ahli UMNO serta rakyat melalui pilihan raya di mana orang UMNO mesti undi Pas sebagai menunjukkan tidak puas hati kepada parti itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Ceramah Berkelompok UDM Mak Chili, dekat sini pada malam Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, sekiranya UMNO mahu memenangi pilihan raya dengan kemenangan besar maka parti berkenaan perlu melakukan perubahan serta memurnikan semula hala tuju dan nakhoda yang telah memimpin mereka.

Dalam pada itu, beliau juga yakin bahawa sekiranya berlaku perubahan kepimpinan tertinggi dalam UMNO maka kerjasama antara ahli-ahli Parlimen Melayu beragama Islam dapat diwujudkan.

"Jadi nak memastikan supaya biar kembali dominan (kerajaan) pada bangsa Melayu Islam maka mesti berlaku perubahan dalam UMNO dan BN.

"Macam mana nak berlaku perubahan kepimpinan UMNO, jadi mesti pilihan raya kali ini Pas kena menang besar dan UMNO mesti kalah bukan kerana calon dari parti itu tetapi disebabkan calon tersebut dipilih oleh Ahmad Zahid," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, Pas tidak menolak untuk bekerjasama dengan UMNO pada masa akan datang selain menjalinkan kembali hubungan seperti mana yang dilakukan sebelum ini.

"Sebagaimana disebutkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang beberapa hari lepas di mana kita bersedia memujuk ahli-ahli Parlimen UMNO untuk bersama dengan PN.

"Jadi itulah perpaduan kita nak letakkan untuk menjadikan tonggak kekuasaan pada bangsa Melayu Islam," ulasnya.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon BN iaitu bekas Panglima ATM, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340. - Sinar Harian