JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, sebagai 'berita baik' buatnya.

Menurut Zulkifli, beliau tidak menolak kemungkinan para pengundi di Parlimen Pulai pada 9 September ini akan memberikan 'undi protes' kepadanya susulan keputusan yang memihak kepada Presiden UMNO itu, semalam.

"Baik untuk sayalah, sebab rakyat pandai menilai. Dengan keluarnya berita ini, rakyat akan menilai daripada berita itu. Menilai siapa pemimpin yang patut (mereka) ikut dan hormati.

"(Undi protes), Insya-Allah pastilah. Sebab apa sebelum ini pun kita tahu banyak (tentang pertuduhan Ahmad Zahid) dan lagi-lagi selepas keluarnya berita itu, Alhamdulillah (saya) bersyukur. Pada saya, berita yang baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau perjalanan pengundian awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas semua 47 pertuduhan yang dihadapinya.

Ia selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Ahmad Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata sepanjang kempen yang telah memasuki hari ke-11 hari ini, sokongan yang diterima daripada para pengundi di Parlimen Pulai begitu memberangsangkan termasuk masyarakat Cina.

Beliau menambah, PN mempunyai jentera gerak kerja yang tersusun dalam mendekati semua lapisan masyarakat.

Dalam masa yang sama, Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai berkata, pengalaman terlibat aktif dalam bidang sukan memberi kelebihan buatnya mendekati kumpulan pengundi muda.

Pada PRK Parlimen Pulai 9 September ini, Zulkifli berdepan saingan tiga penjuru daripada calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dan calon Bebas, Samsudin Mohd Fauzi.