KUALA TERENGGANU: Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa yang keluar UMNO menyertai Pas disahkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini. 

Beliau adalah antara nama-nama besar yang disebut-sebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN), sebelum ini. 

Malah difahamkan, bekas Setiausaha Agung UMNO itu tidak pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri itu memandang rakyat Terengganu masih lagi terikat dengan politik konvensional yang mahukan elemen tempatan.

Sementara itu, penyandang kerusi tersebut Datuk Ahmad Amzad Hashim yang menang dengan majoriti 40,907 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dkatakan akan dikekalkan.

Apa-apa pun, segala teka-teki itu akan terjawab malam ini apabila PN akan mengumumkan nama-nama calon di kesemua 32 DUN dan Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Tok Guru di Rusila, Marang, di sini. 

Sebelum ini, nama bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga disebut-sebut sebagai calon lawan di kerusi berkenaan, namun ternyata menyimpang selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini membatalkan kemenangan bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi daripada Pas itu setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen PRU15 bagi Parlimen tersebut.

Sebelum itu, UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Justeru, Pengerusi Suruhanjaya SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan hari mengundi PRK P036 Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN pada 12 Ogos ini.