BENTONG: "Itu adalah satu fitnah, bukan percuma sebaliknya dijual kepada orang ramai dalam program jualan di sini," kata Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim.

Beliau berkata sedemikian susulan hantaran Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Facebook pada Khamis yang tidak berpuas hati apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa mengadakan program mengagihkan barangan secara terbuka ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Menerusi hantaran itu, Wan Ahmad Fayhsal turut memuat naik satu rakaman video berdurasi satu minit dan 17 saat yang memaparkan pengundi DUN Pelangai didakwa menerima beras tempatan secara percuma di kawasan berkempen.

Ujar Mohd Kamil, beras itu bukan diberikan secara percuma sebaliknya ia adalah program beras bersubsidi oleh kerajaan negeri.

"Kita jual dengan harga subsidi, dan itulah kelebihan kerajaan negeri Pahang yang tiada pada mana-mana negeri lain termasuk di bawah PN yang hanya tahu datang ke sini mereka cerita, fitnah dan tohmahan tidak betul," kata beliau lagi.

Ujar Mohd Kamil, gambar tidak menceritakan segalanya dan ia dijadikan modal politik oleh pihak lawan dengan menampilkan elemen persepsi dan fitnah.

"Sebenarnya program itu diwar-warkan dan kita tidak bodoh nak buat perkara-perkara sebegitu hingga boleh menjerat diri.

"Jadi jangan timbulkan fitnah, jangan nak pecah-belahkan penduduk Pelangai dan Malaysia," tambah beliau.

Jelas Mohd Kamil, jualan itu akan diadakan di lokasi-lokasi lain selepas ini.

"Ini bukan gula-gula politik, kebetulan di sini ada PRK, kita teruskan dan jualan sebegini pun akan dilaksanakan di tempat-tempat lain di Pahang," jelas beliau.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga melaksanakan penyediaan Juadah Makmur untuk diagihkan kepada orang ramai di negeri ini setiap Jumaat sejak penghujung tahun lepas.

"Kerajaan negeri berikan juadah ini setiap Jumaat di masjid-masjid terpilih di negeri ini yang telah dilakukan sebelum PRK Pelangai lagi," tegas beliau.

Sementara itu, Pengarah Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata, Program Beras Makmur merupakan program subsidi harga jualan menerusi kerjasama di antara Kerajaan Pahang dengan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) melalui anak syarikatnya, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd.

Ujar beliau, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd akan membekalkan sebanyak 5,000 pek beras putih import 10 kilogram yang dijual pada harga subsidi iaitu RM25 bagi setiap pek.

“Harga jualan RM25 adalah harga selepas subsidi sebanyak RM11 di mana kerajaan negeri akan menanggung jumlah tersebut dengan keseluruhan RM55,000,” kata beliau.

Jelas Khairul Anwar, program tersebut akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh Pahang bagi memastikan setiap rakyat yang memerlukan dapat menikmati harga subsidi bagi mendapatkan makanan asas seperti beras.

“Program sama akan turut diadakan pada hari Ahad ini di Kuala Lipis bagi membolehkan masyarakat setempat boleh mendapatkan beras 10kg pada harga subsidi RM25,” jelas beliau lagi.

Sebanyak 5,000 pek beras tempatan dijual pada harga subsidi kepada penduduk di DUN Pelangai selepas Majlis Pelancaran dan Jualan Beras Makmur oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Khamis. - Sinar Harian