BENTONG: Barisan Nasional (BN) Pahang sedia disiasat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan parti itu menggunakan aset dan jentera kerajaan negeri sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata dakwaan yang dilemparkan oleh Perikatan Nasional (PN) itu hanyalah mainan politik fitnah yang diamalkan mereka setiap kali musim pilihan raya.

"Setiap kali pilihan raya, itu sahajalah modal kempen mereka, fitnah sahaja, cipta perkara yang tak benar, macam semalam pembangkang kata ada empat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN nak masuk PN, ada ke? Tak adapun malah semua ADUN dah maklumkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya.

"Jadi, isu guna jentera kerajaan negeri ini, saya tahu ini cuma fitnah jadi saya serah pada SPR, tak ada masalah untuk siasat (BN Pahang) dan itu memang kerja mereka," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Rumah Rakyat Pahang Fasa 4 Tahun 2023 di Dataran Simpang Pelangai hari ini.

Menteri Besar Pahang itu diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang mahu SPR menyiasat jentera BN kerana didakwa menggunakan aset dan jentera kerajaan negeri selain memberi insentif kepada rakyat sepanjang tempoh kempen PRK Pelangai.

PRK DUN Pelangai Sabtu ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhashi.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

-- BERNAMA