BENTONG: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai membuktikan rakyat di kawasan berkenaan dan Pahang, menolak isu 3R (Agama, Kaum, dan Institusi Diraja) yang kerap dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kemenangan tersebut juga telah menyekat ‘kemaraan’ gelombang hijau di negeri tersebut.

“Ini saya percaya bahawa isu-isu 3R tidak mendapat tumpuan di hati pengundi di Pelangai dan Pahang kerana saya percaya kita di Pahang ini, ingin memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Kita ingin membantu rakyat dan setiap masa, kita akan memikirkan bagaimana kita membantu rakyat. Sebab itu kita perkenalkan Bantuan Prihatin Pahang, misalnya,” katanya selepas pengumuman rasmi keputusan PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pengundi-pengundi di Pelangai telah merasai sentuhan daripada wakil-wakil rakyat sebelum ini, yang berjenamakan BN-UMNO.

Justeru itu, Wan Rosdy yang juga Pengarah Pilihan Raya DUN Pelangai menambah, penduduk di Pelangai mahu kesinambungan dan sumbangan wakil-wakil rakyat sebelum ini, termasuk Allahyarham Datuk Seri Johari Harun diteruskan di kawasan berkenaan.

“Di kawasan Felda sendiri pun, BN membuat perubahan generasi kedua Felda.

“Usaha ini akan diteruskan sebab itu dalam siri kempen saya, kita banyak menawarkan apa yang boleh berikan kepada pengundi di Pelangai berbanding kita memainkan persepsi, sentimen dan juga mengeluarkan fitnah semasa berkempen,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau berkata momentum yang baik hasil kerjasama jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) akan diteruskan dalam menghadapi PRK Kemaman, Terengganu akan datang.

Sementara itu, mengenai majoriti undi BN yang berkurangan berbanding  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Wan Rosdy berkata BN akan melakukan ‘post mortem’ untuk mengenapasti punca kepada kemerosotan undi.

“Ini pilihan raya kecil, biasalah kadang-kadang penurunan sedikit itu kita tidak dapat elakkan.

“Tetapi yang penting kita telah berusaha sehabis baik, dan insya-Allah kita akan lihat mengapa terjadi begitu dan, kita akan baiki di masa-masa akan datang,” ujarnya.

Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam memenangi PRK DUN Pelangai, dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 berbanding 4,048 undi yang dimenangi Allahyarham Johari.

Menerusi saingan tiga penjuru, Amizar memperolehi 7,324 undi.