BENTONG: Selepas tempoh 14 hari berkempen tamat pada 11.59 malam tadi, hari ini lebih 16,000 pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Sebanyak sembilan Pusat Mengundi melibatkan 30 saluran dibuka secara rasmi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang ini bagi memboleh pengundi-pengundi berdaftar memilih wakil rakyat baharu.

Seramai 16,383 pengundi terlibat dalam hari pengundian hari ini, manakala 36 adalah anggota polis dan tiga lagi pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagaimanapun, PRK DUN Pelangai menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 3 Oktober lepas, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat; dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Sebaik sahaja proses pengundian berakhir pukul 6 petang ini, proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini.

SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi sehingga 75 peratus ke atas berbanding 78 peratus sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, keputusan rasmi PRK DUN Pelangai dijangka diumumkan seawal jam 9 malam.

Sementara itu, semakan di laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah di daerah Bentong pada sebelah pagi dan malam, manakala ribut petir di satu dua tempat pada waktu petang.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) serta calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi).

Ini merupakan PRK ketiga yang diadakan sejak PRU15 pada 19 November tahun lalu.

Pada Ogos lalu, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai.