JOHOR BAHRU: Kepimpinan pusat UMNO khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu bersikap tegas terhadap gesaan agar DAP menggugurkan slogan 'Malaysian Malaysia', seperti didesak segelintir pihak.

Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn, ini kerana pendirian DAP yang tidak mahu menggugurkan slogan berkenaan dijangka memberi kesan besar kepada sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September depan.

Jelas beliau, apa yang disuarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini sudah tentu mewakili suara akar umbi di Parlimen berkenaan, dan situasi sama didakwa berlaku di Simpang Jeram.

"Ini memberi kesan yang sangat besar kepada UMNO untuk menagih dan meraih sokongan daripada orang Melayu. Kita terpaksa menjawab persoalan ini dan saya rasa bahawa apa yang dikatakan oleh Nur Jazlan adalah dapatan daripada kerja dan juga perjumpaan kita dengan akar umbi.

"Saya nak beritahu pimpinan pusat terutamanya Presiden (Ahmad Zahid), sedarlah bahawa orang Melayu sudah lari daripada UMNO kerana UMNO yang selama ini menjadi wadah perjuangan mereka sudah pun bersekongkol dengan parti yang mahu mengekalkan 'Malaysian Malaysia'. Ini merupakan satu persoalan yang harus dijawab oleh pucuk pimpinan terutama Presiden.

"Mereka harus tegas, kalau tidak kita menghadapi masalah dengan orang Melayu dan saya melihat pergerakan orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) cukup membimbangkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nur Jazlan yang mahu DAP menggugurkan slogan 'Malaysian Malaysia' daripada perlembagaan parti itu, jika mahu mendapat sokongan pengundi Melayu.

Begitupun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke semalam dilapor berkata tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan 'Malaysian Malaysia'.

Menurut beliau, prinsip itu juga telah dijelaskan dan dipersetujui secara bersama sebelum Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk sebelum ini.

Malah katanya, Ahmad Zahid turut berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan DAP berhubung perlembagaan parti.

Mengulas lanjut, Bastien berkata apa yang didesak oleh Nur Jazlan ketika ini bukan hanya berkait tentang perubahan DAP semata-mata tetapi slogan 'Malaysian Malaysia' yang telah digunakan parti itu sejak 1960-an lagi.

"Sudah tentu ia memberi kesan kepada orang Melayu dan juga rakyat Malaysia. Bagaimana mereka nak membentuk satu keadaan yang harmoni apabila adanya perkara yang telah dipersetujui semasa kita mencapai kemerdekaan untuk melindungi kedudukan orang Melayu, dan menjaga kemuliaan agama Islam?

"Ini telah dipersetujui oleh kaum Cina yang dirundingkan oleh parti MCA pada ketika itu," katanya.

Beliau menambah keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu telahpun mencerminkan bahawa orang Melayu tidak mahu lagi bersama UMNO, hanya kerana menjalin hubungan politik dengan DAP.

"... dan UMNO selaku pelangkap kepada kerajaan yang ada hari ini menghadapi dilema mereka sendiri.

"Bagaimana mereka hendak memberitahu orang-orang Melayu bahawa parti yang mereka bekerjasama (DAP) untuk mendirikan kerajaan pada hari ini, masih lagi mengekalkan soal 'Malaysian Malaysia' yang menuntut kesamarataan antara satu kaum dengan kaum yang lain," kata Bastien.