PRK Rantau: Belum ada tangkapan dalam kes kain rentang provokasi - Polis

Sahlizah Mohamed
April 9, 2019 02:00 MYT
Kain rentang yang dipercayai diletakkan individu atau kumpulan yang belum dikenal pasti di beberapa lokasi di DUN itu. -Gambar fail
Polis mengesahkan tiada tangkapan dibuat berhubung provokasi melalui kain rentang yang menyentuh isu perkauman mencemarkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sabtu.
Kain rentang itu dipercayai diletakkan individu atau kumpulan yang belum dikenal pasti di beberapa lokasi di DUN itu.
BACA: Kain rentang provokasi cemar kempen PRK Rantau
Ia ditulis dalam loghat Negeri Sembilan dan menggunakan perkataan berbaur perkauman yang tidak sepatutnya terhadap Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram.
BACA: 'Takkan BN nak buat begitu' - Tok Mat
Menurut jurucakap media dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Deputi Superintendan Ahmad Jamaludin, pihaknya mengesahkan menerima satu laporan polis kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Bagaimanapun tiada tangkapan di dalam kes tersebut. Kita hanya mengambil keterangan daripada saksi-saksi.
“Hanya satu laporan polis diterima dan ada lebih kurang tiga laporan polis yang dibuat untuk menafikan penglibatan pihak lain dalam isu tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Polis Rantau menjelang proses pengundian awal PRK Rantau pada Selasa.
BACA: Isu kain rentang tidak seharusnya cemarkan kempen PRK Rantau - Streram
Katanya, sehingga hari tiada suspek yang dikenal pasti terlibat dalam salah laku itu dan pihak polis masih mengumpul maklumat dari semasa ke semasa.
“Kita dalam proses mengumpul maklumat dan juga telah memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan dalam kes tersebut,” jelasnya.
#Ahmad Jamaludin #cemar kempen Pilihan Raya Kecil #isu perkauman #kain rentang #pilihan raya kecil #prk rantau #provokasi #Streram #tiada tangkapan