Menyepit bibir menggunakan penyepit baju sebagai tanda protes semasa berjumpa pengundi.

Tindakan calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, R. Malarvizhi itu bukan sahaja pelik, tetapi gelagat beliau turut menimbulkan rasa geli hati kepada orang ramai.

Malarvizhi, 51, mengedarkan kad kempen ketika bertemu pengundi di pasar malam pekan Rantau petang tadi tanpa bertutur dan ada kalanya beliau menutup mulutnya menggunakan pita pelekat.

“Saya sedang buat ‘silent protest’ iaitu membisu. Seperti yang telah diketahui ramai, saya protes bahawa Pakatan Harapan sebagai kerajaan mereka tidak membenarkan calon untuk bercakap sewaktu PRK Semenyih.

“Tetapi sebelum itu Barisan Nasional tidak membenarkan calon mereka pada PRK Cameron Highlands berbuat perkara sama.

“Kerajaan yang memerintah pula meniru sikap itu. Oleh sebab itu saya mahu protes selama dua hari dengan tidak berbicara semasa berkempen,” katanya.

Menurut suri rumah itu, protes yang dilakukan bertujuan menunjukkan bahawa apabila tidak ada komunikasi, tiada apa yang boleh disampaikan antara calon dan pengundi.

Katanya, calon-calon yang bertanding perlu membuka mulut untuk berkomunikasi dengan pengundi dan bukan pemimpin-pemimpin kanan sahaja yang layak bersuara.

“Kalau saya, saya mahu mendengar apa yang calon nak cakap. Calon perlu beritahu apa yang mereka nak lakukan.

“Sebab itu saya protes. Pakai sepit sakit sebab itu saya ada juga guna pita pelekat,” jelasnya.

“Kerajaan yang memerintah pula meniru sikap itu. Oleh sebab itu saya mahu protes selama dua hari dengan tidak berbicara semasa berkempen,” katanya.

Selain tarikan menyepit bibir, wanita itu turut meletakkan nombor akaun bank pada kad kempen yang diedarkan kepada pengundi.

Jelasnya ia bertujuan untuk mengutip sumbangan daripada pengundi sekiranya wang yang digunakan untuk berkempen tidak mencukupi.

“Calon boleh dapat sumbangan kewangan jadi saya minta sumbangan daripada teman-teman dan pengundi kalau mereka percaya.

“Dana ini untuk kempen, calon ada hak untuk mendapatkan duit sumbangan. Ini bukan satu kesalahan,” katanya.

Malarvizhi juga mengakui perlu berlaku jujur sekiranya menerima mana-mana sumbangan selain akan membuat pengumuman jumlah sumbangan dari semasa ke semasa.

Beliau turut menegaskan akan merujuk kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia sekiranya wang yang diterima kelak melebihi sasaran yang diperlukan iaitu sekitar RM10,000.

“Jika perbuatan ini (meminta sumbangan) boleh menggugat kedudukan saya sebagai calon, saya serahkan semuanya kepada pengundi,” jelasnya.