Calon Pakatan Harapan (PH) di Rantau, Dr. S. Streram mempersoalkan apa yang dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) sepanjang menjadi kerajaan sebelum ini.

Malah, beliau mencabar bekas perdana menteri itu menyatakan apa pencapaian yang dilakukannya sehingga banyak kemudahan tidak dikecapi rakyat termasuk di Rantau.

“Saya tidak tahu siapa 'Bossku'? Dia gunakan wang 1MDB. BN tak buat apa-apa. Pengangkutan tidak ada. Klinik kesihatan tidak ada, balai bomba tidak ada, hospital pun tidak buka. Ini kah pencapaian 'Bossku'? Panggil Najib jawablah,” katanya kepada media selepas bertemu penduduk di Kampung Tanjong di Rantau pada Jumaat.

Program Santai Bersama Bossku di Bandar Sri Sendayan pada Khamis malam adalah penampilan sulung Najib di sepanjang kempen PRK DUN Rantau.

Beliau dalam pada itu turut menggesa pengundi Rantau mengundi Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang disifatkan lebih baik daripada calon PH.