Warga emas merupakan antara pengundi paling awal yang hadir pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil (PRK) P091 Rompin.

Rata-rata dari mereka tiba seawal jam 7.30 pagi dan mula masuk mengundi seawal jam 8.00 pagi iaitu sejurus ketika pintu pusat pembuangan undi dibuka.

Jaharah Ibrahim, 84 tahun yang merupakan dua pupu kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Arifin, berkata dia amat suka untuk turun mengundi.

"Memang nak mengundi... tak pernah lepas. Suka mengundi... setiap kali mengundi mesti ada," kata Jaharah yang hadir berkerusi roda.

Seorang lagi pengundi warga emas, Ahmad Rendah, 82 tahun, berkata beliau mengundi bagi mengenang jasa kerajaan selama ini.

"Bermakna sejak ada pilihan raya.. kita undi lah. Sebab jasa dengan kerajaan yg ada," kata abang sepupu kepada Hasan itu.

Mereka ditemui di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Leban Chondong pada Selasa.

Sementara itu, Hasan Arifin sendiri turut membuang undi di situ. Beliau yang hadir bersama keluarga itu, tiba kira-kira jam 8.20 pagi dan selesai membuang undi pada kira-kira jam 8.56 pagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut mengakui bahawa pengundi warga emas keluar awal.

“Hasil daripada pemerhatian saya, saya dapati saluran 1 dan saluran 2, bilangan peratusannya tinggi iaitu pengundi berumur tua bangun awal dan datang ke tempat undi awal,” katanya pada sidang media PRK Rompin hari ini.

Katanya, secara keseluruhan berdasarkan proses pengundian dan pemerhatian, keadaan di hari pengundian berjalan lancar dan tiada sebarang kesesakan jalan raya yang berlaku.


Sehingga jam 9.00 pagi tadi, pihak SPR memaklumkan bahawa 14.4 peratus atau 7,659 orang pengundi telah pun keluar mengundi.

Ketua Polis Daerah Timbalan Superintendan Johari Jahaya juga memberitahu bahawa keadaan sekitar proses pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Rompin sehingga jam 9.40 pagi terkawal.