Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan pada 4 Ogos sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 21 Julai, manakala tempoh berkempen bagi PRK ini selama14 hari.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata SPR telah melakukan beberapa penambahbaikan seperti menambah saluran mengundi dan memanjangkan tempoh pengundian sehingga 5.30 petang.

"Ini bagi mengurangkan kesesakan dan menambah keselesaan buat pengundi," kata beliau.

Kerusi N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang dengan majoriti 12,480 undi, mewakili PKR dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, Pas dan PRM.