Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng antara terawal yang tiba di Pusat Mengundi SJKC Yu Ming 1 dan 2 bagi menjalankan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, hari ini.

Beliau yang ditemani isteri tiba di pusat mengundi berkenaan kira-kira pukul 7.40 pagi.

Selain Wee, pilihan raya hari ini menyaksikan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

BACA: Tanjung Piai Memilih: Wee Jeck Seng enggan layan serangan peribadi

Karmaine dijadual mengundi di SK Telok Kerang manakala empat lagi calon lain bukan merupakan pengundi Parlimen Tanjung Piai.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Wee gagal mempertahankan kerusi yang disandang beliau selama dua penggal selepas tewas kepada calon PH dari Bersatu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Dr Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

BACA: Pengundian PRK Tanjung Piai bermula

Sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

Dalam perkembangan sama, tinjauan Astro AWANI mendapati para pengundi sudah mula menghadiri pusat mengundi seawal jam 7 pagi.

Berikut antara gelagat pengundi yang hadir untuk menunaikan tanggungjawab pada PRK P. 165 Parlimen Tanjung Piai.