ALOR SETAR: Seramai 6,839 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah serta isteri selain Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Kulim dan Bukit Kayu Hitam melaksanakan undi awal hari ini.

Menurut Jurucakap Media Pilihan Raya Negeri Kontinjen Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, daripada jumlah berkenaan, seramai 875 pegawai dan anggota mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini. 

Menurutnya, proses pengundian hari ini turut melibatkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah bermula jam 8 pagi sehingga jam 5 petang membabitkan 38 saluran di 21 pusat mengundi awal seluruh Kedah.

Bagi IPK Kedah, sebanyak empat saluran dibuka melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di bawah Parlimen Pokok Sena iaitu DUN Derga, DUN Bukit Pinang, dan DUN Bukit Lada.

Beliau memaklumkan proses undian awal yang dilaksanakan hari ini dijalankan mengikut Seksyen 27(A) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.