SUNGAI PETANI: Menjadi satu-satunya wakil daripada masyarakat Siam bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, tidak melunturkan semangat Bau Wong Bau Ek membawa suara komuniti itu ke peringkat lebih tinggi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam itu berikrar akan berusaha untuk mengetengahkan beberapa masalah yang dihadapi masyarakat Siam di Kedah sejak sekian lama selain mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di kawasan berkenaan.

Beliau dalam masa sama berterima kasih kepada kepimpinan parti kerana memberi peluang dan kepercayaan kepadanya untuk bertanding dalam PRN kali ini sekali gus menjadi calon tunggal daripada kalangan masyarakat Siam.

"Masalah Siam ini memang (menghadapi masalah) dengan pemilikan tanah tetapi boleh dikatakan tak semua (dalam kalangan kami) hadapi masalah itu, yang ada masalah adalah (bagi) yang mohon tanah, alih tanah kepada anak, jadi itu yang (kebiasaan timbul) masalah,

"Lain-lain masalah yang dihadapi kebanyakan masyarakat (Siam adalah) seperti kad pengenalan merah, (menjadi) harapan orang Siam untuk saya ketengahkan masalah macam ini melalui DUN Sidam di Kedah ini,” jelas beliau kepada pemberita ketika ditemui media selepas berkempen di Taman Batik, di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Bau juga akan berusaha mendalami lebih terperinci dua masalah utama penduduk di Sidam iaitu capaian Internet yang lemah serta tekanan air yang rendah terutama di kawasan luar bandar.

Ditanya mengenai peluang untuk menang di DUN berkenaan, beliau yakin terdapat kelebihan memandangkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam yang mengkhianati parti sebelum ini berada di 'pihak' Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Bau tidak pernah sama sekali memandang rendah saingan yang diberikan calon PN memandangkan gabungan itu meletakkan calon Melayu di DUN terbabit.

"Nak kata kelebihan itu sama sahaja, pasal apabila sebut sahaja parti kita (iaitu Parti Keadilan Rakyat atau PH), (masyarakat) dia akan kata kamu punya parti boleh lompat parti (sebab sejarah bekas ADUN di sini), (kita) ada kekurangan tetapi kelebihan adalah apabila orang yang lompat (itu) berada di sebelah sana (PN), itu kelebihan untuk kita," ujar beliau lagi.

Untuk rekod, bekas ADUN PKR Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee keluar parti pada tahun 2020 sekali gus menyebabkan kerajaan PH Kedah tumbang.

Beliau sebelum itu menang di kerusi berkenaan dengan memperoleh majoriti 10,860 undi dalam saingan empat penjuru dengan calon Pas Nur Hidayah Foo Abdullah, Tan Kok Seong (Barisan Nasional) dan Mohd Hashim Saaludin (Parti Rakyat Malaysia) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

DUN Sidam yang mempunyai 60,983 pengundi adalah kerusi campuran di Kedah dengan peratusan pengundi Melayu kurang daripada 50 peratus manakala pengundi Cina dan India masing-masing 35 peratus dan 20 peratus.