HULU LANGAT: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor dijangka memenangi dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menurut Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Johan Abd Aziz, keyakinan itu berdasarkan momentum penerimaan pengundi sehingga saat akhir kempen oleh setiap calon BN dan PH.

"Saya rasa kita sudah melepasi majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan. Saya penuh yakin (menang) 30 kerusi ke atas mungkin boleh cecah ke 40 kerusi DUN iaitu dua pertiga... itu saya rasa mungkin boleh tercapai," katanya.

Gabungan PH dan BN jelas Johan lagi, amat luar biasa pada PRN kali ini dengan kerjasama jentera pada tahap maksimum demi memastikan Selangor kekal di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"Saya dapat feedback ini boleh dikatakan positif, berpuas hati di semua tempat (kerusi DUN). Kali ini berbeza dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Saya sendiri rasa berbeza contoh di kampung-kampung, kalau dulu pertembungan tiga penjuru, kalau di bawah Selangor ada kampung MPKK di sebelah PH yang dahulunya lawan, hari ini mereka sahabat kita bersama.

"Saya dapat rasa perbezaannya, akhirnya duduk semeja bersama, suasana itu pertama kali... amat luar biasa dan saya penuh keyakinan semua calon BN dan PH Insya-Allah akan beroleh kemenangan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Program Merdeka Kampung Sungai Raya di sini pada Jumaat.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 26,557 tentera, polis dan pasangan masing-masing layak mengundi awal di Selangor, manakala lebih 3.71 juta pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab mengundi di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabtu ini.