KUALA LUMPUR: Datuk Seri Amirudin Shari akan memulakan proses tindakan undang-undang dengan menyaman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Menurut Menteri Besar Selangor itu,  beliau telah berbincang dengan peguamnya dan meneliti ucapan Muhammad Sanusi dalam Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra baru-baru ini.

Dakwa Amirudin, ucapan Pengerusi PN Kedah itu jelas adalah fitnah.

"Dengan tegas saya menafikan sekeras-kerasnya segala bentuk dakwaan dan tuduhan tersebut. 

"Malah, perkara ini telah saya perincikan secara panjang lebar di sidang Dewan Negeri tahun lalu dan awal tahun ini serta dalam satu sidang Parlimen pada 1 Mac 2023.

"Justeru saya telah berbincang dengan peguam saya dan akan memulakan proses tindakan undang-undang terhadap Muhammad Sanusi dengan segera atas fitnah yang dilontarkan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Pengerusi Harapan Negeri Selangor itu lagi, tindakan Muhammad Sanusi juga didakwa sebagai percubaan oleh seorang yang amat terdesak dan ingin mengalihkan persepsi daripada segala dakwaan skandal unsur nadir bumi (REE) yang terpalit dengannya.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi mendedahkan skandal yang didakwa berlaku melibatkan Amirudin dengan Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.

Dakwa Muhammad Sanusi, ahli perniagaan tersebut mahu mengadakan projek sungai bernilai RM10 bilion dengan mendapatkan tanah seluas 600 ekar di Selangor.

Skandal berkenaan, dakwa beliau membabitkan syarikat milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bagi projek di Sungai Klang, yang didakwa akan merugikan Kerajaan Selangor sekitar RM180 juta.

Sementara Astro AWANI hari ini melaporkan Amirudin berkata proses undang-undang telah diambil terhadap segelintir pihak pembangkang yang didakwa cuba memburukkan imej dan pencapaian Kerajaan Selangor.

Jelas beliau, pihaknya dan anak syarikat terbabit mendapati sebahagian dakwaan yang dibuat bersifat tuduhan liar yang memberi persepsi salah.