IPOH: Dewan Negara Perak mahu penularan video titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dimanipulasi untuk mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik dihentikan segera.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, perbuatan itu sangat tidak beretika dan tidak sopan kepada seorang raja pemerintah sekali gus mencemarkan nama baik takhta.

Menurutnya, demi melindungi nama baik Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik, Pejabat Sultan Perak  telah membuat laporan polis pada Sabtu.

“Ditegaskan bahawa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zahidi berkata, ia susulan satu video ditularkan oleh seorang wanita yang memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin Shah yang dizahirkan pada tahun 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyentuh parti Pas.

Menurutnya, video tersebut hanya sebahagian kecil titah Sultan Nazrin Shah (ketika itu Pemangku Raja Perak) di Mailis Wacana Perpaduan Ummah aniuran DBP bertema, 'Perpaduan ummah: Harapan, realiti dan cabaran'.

“Dalam wacana tersebut, baginda menzahirkan analisis melibatkan dua parti terbesar Melayu, iaitu UMNO dan Pas, yang merupakan dua kuasa politik Melayu yang dominan ketika itu.

“Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap Pas (pada tahun 2013) tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO,” ujarnya.

Tambahnya, titah baginda itu mengandungi 7,500 perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan dan bahagian yang memuji Pas hanyalah petikan pendek, begitu juga pujian terhadap UMNO.

Untuk itu, jelasnya, tidak timbul isu bahawa baginda hanya memandang tinggi Pas semata-mata.

“Malah kandungan titah tersebut sarat menghuraikan sejarah kedua-dua parti Melayu tersebut dan demi kebaikan bangsa dan negara, pentingnya untuk ummah mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik yang berbeza.

“Baginda memberikan ulasan seimbang antara dua parti politik Melayu tersebut dan turut menzahirkan peringatan kepada kedua-dua pihak agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecahbelahkan bangsa dan memusnahkan negara,” ujarnya.

Menurutnya, adalah dipercayai ada pihak yang memilih memetik titah Sultan Nazrin pada tahun 2013 itu untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima 20 laporan polis berhubung penularan video berkenaan.

Katanya, laporan polis itu antara lain meminta siasatan dijalankan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap wanita yang memanipulasi video terbabit.

“Sebanyak 20 laporan polis itu dibuat di seluruh Perak sejak Ahad. (Terdahulu) laporan polis pertama dibuat di Balai Polis Brickfield di Kuala Lumpur pada Sabtu, dan siasatan kes ini telah diserahkan kepada pihak Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Isnin.