BAYAN LEPAS: Presiden Gerakan, Datuk Datuk Dominic Lau Hoe Chai mengakui berlaku salah faham antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, namun akan diselesaikan secara baik dalam masa terdekat.

Beliau yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas berkata, berlaku perbezaan perspektif di peringkat akar umbi sehingga ke pusat.

"Kita akan cuba selesaikan isu-isu secara dalaman dan seperti yang saya cakap sebelum ini, ia adalah masalah komunikasi. Kita akan memperkuatkan komunikasi antara parti komponen.

"Memang ada sedikit salah faham di peringkat komponen parti PN Pulau Pinang kerana semua cadangan serta pandangan di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat mempunyai perspektif berlainan.

"Kita akan cuba menerangkan perbezaan perspektif itu. Kita berharap semua boleh terima dan bantu PN kerana objektif kita hanya satu, mahu menangkan PN Pulau Pinang," katanya ketika ditemui selepas program walkabout di sebuah flat di Jalan Kolam Ikan di sini pada Ahad.

Sebelum ini, pencalonan Dominic di kerusi DUN Bayan Lepas dibantah ahli-ahli Pas Cawangan Bayan Lepas yang didakwa turut mengugut akan memboikot pencalonan dan PRN kali ini.

Pencalonan Dominic di kerusi itu juga mencetuskan tanda tanya apabila namanya tidak diumumkan sewaktu pengumuman rasmi calon PN Pulau Pinang oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee di Pongsu Seribu, Kepala Batas pada Khamis lalu.

Difahamkan, calon PN di kerusi Bayan Lepas pada mulanya diberikan kepada Pas yang menamakan Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Ditanya sama ada beliau ada berhubung dengan Iszuree, Dominic berkata, mereka hanya berhubung melalui WhatsApp sebelum hari penamaan calon pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dominic berkata, beliau dibantu oleh ahli Pas Bayan Lepas dalam siri kempennya yang bermula sejak petang Sabtu.

"Dari segi bantuan, memang ada bantuan daripada ahli Pas Bayan Lepas malah mereka menguruskan jadual kempen saya. Semua komponen telah berusaha untuk menubuhkan pusat daerah mengundi (PDM) bagi mendapatkan sokongan pengundi.

"Masa penamaan calon, jentera Pas ada turun tetapi saya nak jelaskan bahawa, tak semestinya mereka tidak ikut saya berkempen, bermakna mereka tidak sokong saya.

"Ada banyak lagi kerja yang memerlukan bantuan daripada parti komponen, bukan hanya ikut berkempen. Selain itu, saya bukan sahaja dibantu oleh parti komponen malah disokong beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak lain (yang tiada kepentingan politik)," katanya.

Mengenai sokongan orang Melayu di kawasan Bayan Lepas, Dominic berkata, daripada dua hari berkempen, sokongan orang Melayu terhadapnya dilihat baik.

"Saya ada turun di beberapa kawasan majoriti orang Melayu, saya nampak, memang sokongan orang Melayu agak baik.

"Mereka pun ada cakap sokong PN malah pengundi sudah mula kenal saya sebagai calon Bayan Lepas. Ini satu petanda yang baik namun kita akan terus berusaha untuk mendapat sokongan semua pengundi di kawasan ini," katanya. - Sinar Harian