SUNGAI PETANI: Walaupun berada di dalam gabungan sama yang membentuk Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini, dua calon wanita mewakili Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah mempunyai dua hasrat atau misi yang berbeza di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Bagi calon BN DUN Pantai Merdeka, Wan Mohalina Wan Mohammad, matlamat utamanya bertanding kali ini adalah untuk menjadikan DUN berkenaan dikenali sebagai 'DUN Digital'.

Beliau yang merupakan calon wanita pertama pernah ditampilkan mana-mana parti di DUN berkenaan mengakui, hasrat itu tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya mempunyai seorang wakil rakyat yang mempunyai komitmen besar ke arah itu.

Tambahnya, perkara itu sekiranya mampu direalisasikan berupaya menjadikan Pantai Merdeka sebagai hub ekonomi baharu di Kedah selain merapatkan jurang dengan dua lagi DUN dalam Parlimen Sungai Petani iaitu Bakar Arang dan Sidam.

Wan Mohalina yang mesra disapa sebagai Kak Wan berkata, terdapat beberapa perkara yang akan diberi keutamaan dalam merealisasikan hasrat mendigitalkan DUN itu.

"Ada beberapa perkara dalam (hasrat) mendigital satu-satu DUN itu, semestinya DUN Pantai Merdeka (adalah) satu DUN yang perkampungan dengan penduduknya 92 peratus Melayu.

“Dengan demografi begitu, Kak Wan nampak bahawa dengan beberapa program yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia macam JENDELA… ia sudah masuk kampung-kampung, projek libatkan jalur lebar kelajuan tinggi di kawasan kampung, di sekolah buat PoP dia, dan (manfaatnya) keluar ke kawasan kampung.

"Kak Wan rasa (hasrat itu) tak mustahil, cumanya sebagai seorang wakil rakyat, kena pastikan kawasan kita diberi keutamaan, kita kena pastikan suara di DUN Pantai Merdeka didengari supaya apa perancangan dari segi infrastruktur kita dapat kepentingan dan diberi perhatian lebih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika berkempen di sekitar kawasan Pinang Tunggal, pada Khamis.

Sementara itu, calon PH DUN Jitra, Sabrina Ahmad pula berjanji akan mewujudkan pusat khidmat bergerak sekiranya rakyat di kawasan itu memilih beliau pada 12 Ogos ini.

Menurut beliau, pusat khidmat itu merupakan manifestasi kepada pengundi-pengundi dengan mengutamakan cara penyelesaian pantas kepada penduduk Jitra.

Ketua Wanita PH Kedah itu juga berikar akan terus gigih berkempen bagi memastikan DUN Jitra 'sealiran' dengan kerajaan Pusat.

"Banyak yang mengeluh mengenai getah, mengenai padi… kebanyakan ADUN dan MP (Ahli Parlimen) sebelum ini tidak mengambil berat (hal itu), jadi itu memberi kesan (kepada rakyat),

"Jadi saya nyatakan kepada mereka jika saya diberi mandat Insya-Allah saya cuba lakukan sebaik mungkin di kawasan Jitra, (antaranya) perlu dinaik taraf, diselenggarakan kawasan-kawasan peniaga-peniaga kecil, tapak-tapak yang perlu dinaik taraf dan banyak juga peniaga kecil yang mengeluh.

"Sekiranya kita diberi mandat kita akan kumpulkan peniaga-peniaga kecil ni untuk kita dengar apa luahan mereka untuk kita bantu cuba tingkatkan penjualan tingkatkan kualiti produktiviti mereka di sini,” ujarnya.

Untuk rekod, bagi DUN Pantai Merdeka, Wan Mohalina akan berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN) yang merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Petani, Sharir Long.

Manakala di Jitra, Sabrina akan berdepan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah yang mewakili PN.