KUALA LUMPUR: Enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kata sepakat itu dicapai menerusi mesyuarat antara Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri terbabit pada Rabu.

“Secara ringkas, kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023.

“Persefahaman ini sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Amirudin, beliau berharap bahawa persefahaman ini dapat memudahkan usaha rakyat untuk meraikan demokrasi kelak.

Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN.