DENGKIL: Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri berbaki kurang 12 jam, sebelum kuasa rakyat menentukan siapakah wajar diberikan mandat sebagai wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kesempatan saat-saat akhir ini, digunakan sepenuhnya setiap calon yang bertanding.

Astro AWANI turun ke lapangan bagi melihat sendiri calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dijangka memberi saingan sengit pada 12 Ogos depan. 

Bagi calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said, kempen selama 14 hari telah dilaksanakan dengan bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan DUN itu.

Katanya, pembangunan Dengkil yang seimbang serta terancang, selain isu-isu tempatan seperti banjir dan sosioekonomi menjadi keutamaannya jika dipilih pada Sabtu ini.

"Dengkil ini kita dah tiga penggal mendapat ADUN pembangkang iaitu pada tahun 2008 daripada BN juga pembangkang, 2013 juga pembangkang, yang terbaharu pada 2018 daripada Bersatu juga pembangkang.

"Maknanya kita dah tertinggal di Dengkil 15 tahun, yang ada di Dengkil hanyalah penyelaras DUN, kali ini kita punyai ruang dan peluang untuk ada wakil rakyat daripada kerajaan.

"Hari ini kita dah bergabung jadi kita merupakan calon Kerajaan Perpaduan. Sudah sampai masa kita tidak hanya jadi penonton limpahan ekonomi yang ada di Putrajaya dan Cyberjaya," jelasnya.

Tambahnya, selain ekonomi, infrastruktur seperti penambahan sekolah juga antara isu yang akan diselesaikan demi membela rakyat di DUN itu.

Sementara itu, bagi calon Perikatan Nasional (PN) pula, Datuk Seri Jamil Salleh, pengalamannya sebagai bekas Ketua Setiausaha dua kementerian sebelum ini, menjadi kekuatan dalam membawa perubahan di DUN itu.

"Sebagai bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya sebenarnya pengalaman hampir 40 tahun... selepas menjadi KSU saya menjadi pengerusi agensi kerajaan dan saya boleh gunakan pengalaman ini.

"Saya yakin ia amat berharga, kita akan gunakan..ia akan diterjemahkan kepada realiti yang sebenarnya. Saya akan menggunakan segala kepakaran yang ada iaitu kumpulan pemikir juga," katanya.

Tambahnya, Dengkil mempunyai potensi dibangunkan dalam jangka masa panjang kerana berhampiran dengan Putrajaya dan Cyberjaya.

"Untuk Dengkil, kita perlukan satu pelan iaitu jangka masa panjang mungkin 30 tahun di mana kita merancang semua pembangunan itu mengikut kemahuan kehendak penduduk.

"Sebab itu ktia perlukan kumpulan pemikir bersama saya, kemudian kita mahukan hasil terbaik boleh menjadikan Dengkil contoh semua DUN di Selangor," katanya.

DUN N.55 Dengkil menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH-BN, PN, Parti Utama Rakyat (PUR) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Seramai 93,931 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab di DUN itu pada Sabtu ini.