ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak tindakan seorang menteri yang menyatakan bahawa isu membabitkan kekerapan perjalanan feri ke Pulau Langkawi akan diselesaikan sekiranya kerajaan negeri pimpinannya ditukar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Sanusi, kuasa membabitkan perkhidmatan feri, mendalamkan alur pelayaran, pembinaan lapangan terbang atau pembaikan stesen kereta api adalah di bawah bidang tugas Kementerian Pengangkutan dan bukannya kerajaan negeri.


Sehubungan itu, tegasnya, perkara itu perlu dilaksana dan diselesaikan melibatkan agensi di peringkat Persekutuan tanpa mengira status kerajaan negeri 'selari' ataupun tidak.

"(Dua tiga hari lepas), ada menteri sebut kalau tukar kerajaan (negeri dalam PRN), laut (mereka) hendak (korek) bagi dalam (supaya) feri boleh lalu 15 kali sehari.

"Saya hendak beritahu di sini bahawa perkhidmatan feri, jeti, stesen kereta api, lapangan terbang, 100 peratus bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), kalau di bawah Persekutuan, tidak perlu tukar kerajaan (negeri) pun boleh (laksanakan) benda itu.

"Saya tidak tahu dia tahu atau tidak, itu memang petak (tugasan) dia, kalau kata saya nak buat petak (tugas) itu (memang) tidak boleh, kerajaan negeri hendak korek laut supaya feri lalu banyak kali tidak boleh kerana ia petak (tugas) 'federal'," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Dalam perkembangan berasingan, beliau menyatakan bahawa tidak terlalu teruja dengan pengumuman membabitkan peruntukan RM1.6 bilion yang dibuat Perdana Menteri kepada negeri Kedah pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar, Sabtu lalu.

Jelasnya, perkara yang diumumkan hanya inisiatif lama yang terkandung dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan diumumkan semula oleh Ahli Parlimen Tambun itu.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan Perpaduan memberikan jaminan akan menyelesaikan isu gangguan bekalan air di Kedah sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan nanti.

Beliau turut memberikan jaminan penyelesaikan kepada beberapa isu lain seperti kekerapan perjalanan feri ke Pulau Langkawi serta isu perumahan di negeri Jelapang Padi itu.