SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua ahli parti komponen itu supaya tidak melakukan sabotaj dan menjadi duri dalam daging pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Presiden UMNO itu berkata, walaupun ketika ini tiada sebarang laporan rasmi diterima daripada Lembaga Disiplin parti namun beliau tidak sama sekali mahu perkara sedemikian terjadi.

"Setakat ini, tiada sebarang laporan rasmi diterima Lembaga Disiplin parti dan diri saya sendiri, saya cuma memberi gambaran jika ada sabotaj daripada parti, ia adalah ingatan kepada keseluruhan ahli.

"Tapi jika ada laporan itu, kita tak perlu panggil pun untuk siasatan, ada bukti yang nyata dalam laman sosial, dalam rakaman video atau audio, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santai Bersama Rakyat, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, ini adalah masa terbaik untuk semua ahli menyusun dan menggerakkan jentera pilihan raya serta menarik sokongan bukan sahaja kepada ahli tegar BN tetapi juga rakan dalam Pakatan Harapan (PH) selain meraih dukungan pengundi 'atas pagar.'

Ahmad Zahid juga mengingatkan pembangkang supaya tidak bersikap pilih kasih dalam mengulas isu rasuah pada PRN kali ini.

"Saya mempunyai garis panduan sendiri dan ia berdasarkan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya. Jangan menggunakan perkara yang demikian untuk kata kononnya ini rasuah tetapi memberi wang dengan baiah, angkat sumpah mesti undi parti itu, tidak pula rasuah jadi jangan dwistandard dalam perkara ini," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan panduan khas bagi pemberian bantuan semasa pilihan raya oleh ahli politik.

Ia sebagai respons kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dilaporkan berkata tiada unsur rasuah dalam ucapan Ahmad Zahid di Terengganu pada Jumaat lepas.

- BERNAMA