Skip to main content

Politik

PRN Johor: Amanah pertaruh 13 muka baharu

Mohamad Sabu (tiga dari kanan) menyerahkan bendera PH kepada wakil parti di setiap DUN yang ditandingi pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor Zon Selatan di Taman Universiti. -- SINAR HARIAN
Mohamad Sabu (tiga dari kanan) menyerahkan bendera PH kepada wakil parti di setiap DUN yang ditandingi pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor Zon Selatan di Taman Universiti. - Foto Sinar Harian
Advertisement

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) mempertaruhkan 13 muka baharu daripada keseluruhan 19 calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hanya enam atau tujuh calon merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada, manakala selebihnya terdiri daripada calon baharu.

Menurut beliau, sebahagian besar calon baharu yang diketengahkan merupakan golongan muda, selain turut menampilkan dua calon wanita.

“Daripada muka-muka baharu ini, hampir separuh adalah orang muda manakala calon wanita pula ada dua orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor Zon Selatan di Taman Universiti, di sini, Jumaat malam.

Turut hadir Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad serta Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.

Mohamad berkata, kebanyakan calon yang dipilih juga merupakan anak tempatan yang diyakini mampu membawa suara rakyat di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) agar menerima keputusan pemilihan calon yang bakal diumumkan oleh Pengerusi PH pada Isnin depan.

Katanya, setiap anggota parti perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih demi memastikan kemenangan gabungan itu dalam PRN Johor.

“Sudah tentu akan ada yang merajuk, tetapi semua perbezaan perlu ditamatkan. Kita mesti bersatu dan membantu calon-calon yang diketengahkan untuk memastikan kemenangan PH,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan parti komponen PH amat penting bagi menjamin kestabilan politik dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap gabungan tersebut menjelang hari pengundian. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement