MERSING : Setelah 14 hari tempoh berkempen diberikan untuk meraih kepercayaan pengundi, nasib masyarakat di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Mersing melibatkan Endau dan Tenggaroh bakal ditentukan pada Sabtu.

Kesemua jentera parti pastinya telah melaksanakan strategi masing-masing untuk menambat hati pengundi dan ada juga parti yang mempunyai misi tertentu di setiap kerusi.

DUN Endau merupakan antara kerusi yang kelihatan ‘panas’ apabila hasrat Barisan Nasional (BN) ingin merampas kembali kerusi tersebut daripada penyandang sebelum ini, Alwiyah Talib yang menang atas tiket parti itu namun telah berpindah ke Perikatan Nasional (PN).

BN yang diwakili Mohd Youzaimi Yusof sebelum ini mendakwa, kerusi berkenaan bukan milik Bersatu selain menyifatkan calon tersebut telah mengkhianati pengundi yang telah memberikan mandat terhadap beliau.

Situasi di Endau bertambah hangat apabila sebelum ini, bekas Ketua Bahagian Bersatu Mersing pula membuat kejutan untuk kembali ke pangkuan BN, sekali gus menyatakan sokongan terhadap calon parti tersebut.

Dalam pada itu, kehadiran parti lain seperti Pejuang, Pakatan Harapan (PH), dan Bebas juga tidak boleh dipandang enteng dan berkemungkinan akan berlaku juga perpecahan undi.

Bagaimanapun, tumpuan sudah pastinya terhadap calon BN dan PN, sama ada BN mampu merampas kembali kerusi tersebut atau menerima tamparan hebat sekiranya tewas pada genggaman PN.

Sementara itu, lain pula kisah di DUN Tenggaroh yang sememangnya terkenal dengan kerusi tradisi oleh penyandangnya sebelum ini dari BN, Raven Kumar Krishnasamy yang telah memegang kerusi tersebut selama beberapa penggal.

Dalam masa sama, wujud pula tuntutan penduduk setempat yang menginginkan calon dalam kalangan anak tempatan untuk mentadbir DUN tersebut berikutan Raven yang merupakan anak kelahiran Segamat.

Kehadiran beberapa calon lain dari (PKR) yang diwakili Zulinah A. Johari, (PN) Roslan Nikmat, dan (Pejuang) Mohd Firdaus Abd Rahman ternyata mewujudkan saingan meskipun kesemua calon tersebut merupakan muka baharu dalam arena politik.

Perubahan besar akan tercetus di Tenggaroh sekiranya berlaku ‘swing’ yang besar dari kalangan pengundi di kawasan tersebut jika mereka mengamalkan undi berasaskan etnik.

Untuk rekod, Mersing mempunyai populasi yang sebahagian besarnya terdiri daripada pengundi Melayu (76 peratus) manakala selebihnya merupakan masyarakat Cina (15.70 peratus) dan India (1.40 peratus).

Situasi kali ini juga dijangka berbeza dengan kehadiran hampir 4,000 pengundi muda buat kali pertama menunaikan tanggungjawab selain sedikit sebanyak membawa perbezaan kepada jumlah undi kali ini.

Teka teka ini bagaimanapun bakal terjawab pada 12 Mac menyaksikan pengundi menterjemahkan sokongan mereka melalui undi.