PANGKOR: Barisan Nasional (BN) akur dengan ketetapan dan syarat yang akan dikeluarkan berhubung kaedah kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, dalam konteks itu, BN akan mengikut segala arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"PRN Johor akan diadakan, jadi seperti yang ditanya sama ada kaedah kempen akan berbeza dengan Melaka sebelum ini.

"Ia bergantung kepada pihak kerajaan, SPR dan KKM. Kerana kita berada dalam suasana COVID-19 dan akan mengikut segala peraturan yang dibuat oleh kementerian yang berkaitan.

"Kita (BN) tidak mahu mengingkari apa yang diperuntukkan dalam arahan kerajaan. Itu pendirian kita, seperti yang kita buktikan di Melaka," katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di Majlis Sambutan SKS Airways Inaugural Flight Subang - Pangkor di Padang Terbang Pulau Pangkor di sini, pada Selasa.

Justeru, katanya, BN masih menanti arahan selanjutnya mengenai PRN Johor dan syarat-syarat yang ditetapkan.

"Ia bukan soal memberi kelebihan kepada sesiapa (kaedah kempen) kerana apabila sebarang peraturan yang diperkenalkan, ia bukan hanya kepada satu-satu parti.

"Pihak berkuasa akan melaksanakan peraturan itu kepada semua, soal ia beri kelebihan atau sebagainya itu isu lain," katanya.

SPR sebelum ini memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini untuk menentukan tarikh PRN Johor ke-15.

Menurut Setiausahanya, SPR telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Penggal ke-14 daripada Speaker DUN.