SHAH ALAM: Budaya hormat dalam kalangan pelajar perlu dibina berasaskan nilai kemanusiaan dan bukan ketakutan sehingga membuka ruang kepada amalan buli di sekolah berasrama penuh (SBP).
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, kecemerlangan institusi pendidikan tidak lagi boleh dibentuk menerusi penghinaan, tekanan psikologi atau budaya takut yang selama ini ada kalanya dianggap sebagai sebahagian tradisi senioriti.
“Sekolah yang hebat bukan sekolah yang melahirkan pelajar yang takut kepada senior, tetapi sekolah yang melahirkan pelajar yang menghormati antara satu sama lain.
“Hormat melahirkan kepemimpinan, takut hanya melahirkan kepatuhan sementara,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum “Respect vs Fear: Shaping Positive Traditions in SBPs Without Crossing Into Bullying” di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, pada Ahad.
Forum itu dikendalikan Dr Malar Santhi Santherasegapan sebagai moderator dengan menampilkan panel terdiri daripada Ketua Nazir Sekolah, Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan Malaysia, Naharudeen Othman; Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM, Profesor Madya Dr Hasnah Toran; peguam, M.K. Thas serta Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Dr Zasmani Shafiee.
Forum anjuran Gabungan Alumni SBP itu turut menghimpunkan wakil sekolah berasrama penuh, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni pendidikan serta pelbagai institusi berkaitan pendidikan dan kesejahteraan pelajar.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, isu buli kini tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah disiplin terpencil semata-mata, sebaliknya sudah menjadi isu kesejahteraan sosial, keselamatan emosi serta kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, terdapat kecenderungan untuk menormalisasikan perlakuan tertentu atas nama tradisi, senioriti dan ketahanan mental sehingga garis pemisah antara budaya membina dan budaya takut menjadi semakin kabur.
“Pendekatan reaktif semata-mata tidak mencukupi. Apa yang diperlukan ialah pendekatan ekosistem dan whole-of-community approach.
“Sekolah tidak boleh dibiarkan bersendirian. Ibu bapa perlu terlibat, alumni perlu memainkan peranan, komuniti dan masyarakat sivil perlu hadir sebagai rakan strategi,” katanya.
Beliau turut memuji peranan alumni SBP yang menurutnya mempunyai jaringan besar dalam pelbagai bidang profesional termasuk politik, perubatan, kejuruteraan dan sektor korporat.
Katanya, kekuatan alumni tidak seharusnya hanya terikat kepada nostalgia sekolah lama, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada usaha membimbing generasi pelajar masa kini.
Dalam pada itu, beliau berharap forum berkenaan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kesan buli terhadap emosi dan pembangunan karakter pelajar selain memperkukuh budaya sekolah yang lebih selamat dan inklusif. -Sinar Harian