Skip to main content

Malaysia

Aqasha kembali sebagai Hang Tuah dalam PGL The Musical

Insta @pglthemusical
Penglibatan semula Aqasha dilihat sebagai kesinambungan perjalanan seni yang kembali bertemu titik asal, sekali gus membawa interpretasi baharu terhadap watak pahlawan Melayu yang sarat dengan elemen kesetiaan, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Aqasha diumumkan sebagai pemegang watak Hang Tuah bagi pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical).

Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran di Instagram rasmi produksi PGL The Musical sebentar tadi, sekali gus melengkapkan barisan pelakon utama bagi karya epik tersebut.

Pemilihan Aqasha, atau nama penuhnya Firdee Akassya Rosli, mencuri perhatian peminat teater tempatan dengan rata-rata menyambut baik penglibatannya sebagai antara figura paling ikonik dalam pementasan berkenaan.

Sebelum ini, aktor berkenaan bukan asing dalam dunia Puteri Gunung Ledang The Musical apabila pernah terlibat dalam produksi tersebut sekitar dua dekad lalu menerusi watak Bendahara Melaka, selain turut pernah menjadi pelakon simpanan bagi karakter Hang Tuah.

Penglibatan semula beliau dilihat sebagai kesinambungan perjalanan seni yang kembali bertemu titik asal, sekali gus membawa interpretasi baharu terhadap watak pahlawan Melayu yang sarat dengan elemen kesetiaan, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan.

Watak Hang Tuah sebelum ini pernah dijayakan oleh Stephen Rahman-Hughes dalam pementasan terdahulu yang mencipta fenomena dalam industri seni persembahan tanah air.

Sebelum ini, produksi PGL The Musical turut mengumumkan penyanyi Aisha Retno bersama pelakon Mila Mohsin sebagai pemegang watak utama Puteri Gunung Ledang, selain Mimi Fly dan Nadia Aqilah sebagai watak Bayan.

Pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical yang diterajui Penerbit Eksekutif dan Pengarah, Tiara Jacquelina dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026.

Must Watch Video