Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon BN sasar kilang tekstil jana 500 peluang pekerjaan di Paloh

LEE TING HAN
Ting Han berkata sebuah kilang tekstil hasil kerjasama Singapura-China dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan serta merancakkan pembangunan industri di kawasan itu. - Foto Lee Ting Han
Advertisement

KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Lee Ting Han berkata sebuah kilang tekstil hasil kerjasama syarikat dari Singapura dan China dijangka dibangunkan di kawasan itu, sekali gus mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang di Paloh, yang menurutnya sudah lama tidak mempunyai kawasan perindustrian.

"Kita telah berjaya tarik masuk sebuah syarikat hasil kerjasama Singapura-China untuk membina sebuah kilang tekstil.

"Sepanjang empat tahun ini, kita membantu proses penzoningan semula dan pertukaran syarat nyata tanah. Sekarang projek itu berada di fasa terakhir sebelum kerja-kerja pecah tanah dapat dilaksanakan," katanya kepada Astro AWANI.

Lee berkata, sekiranya segala proses berjalan lancar, kerja pecah tanah dijangka dapat dimulakan menjelang penghujung tahun ini.

Menurutnya, kilang itu bukan sahaja dijangka memberi manfaat kepada penduduk DUN Paloh, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar daerah Kluang.

Pada PRN Johor kali ini, DUN Paloh mempunyai 27,966 pengundi berdaftar dan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan penyandang Barisan Nasional (BN), Lee Ting Han; calon Pakatan Harapan (PH), Dr Ruban Arumugam; calon Perikatan Nasional (PN), D. Jeevakumar; serta calon Bebas, G. Kamaleswaren.

Pada PRN Johor 2022, Lee mempertahankan kerusi DUN Paloh dengan majoriti 3,176 undi selepas menewaskan Sheikh Umar Bagharib Ali (PH), Selvendran Velu (PN) dan Aminuddin Johari (Pejuang).

 

 

Must Watch Video

Advertisement