JOHOR BAHRU: DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju memberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama ditandatangani, Syed Saddiq, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, keputusan berkenaan diperoleh selepas rundingan antara ketiga-tiga parti.

Lima kerusi berkenaan ialah N05 Tenang, N07 Bukit Kepong, N22 Parit Raja, N26 Machap, N41 Puteri Wangsa, dan N50 Bukit Permai.

Selain itu, kenyataan itu turut menyebut, rundingan berkenaan menetapkan tiga matlamat utama iaitu memastikan tiada pertindihan antara tiga parti terbabit; menyelaras tenaga kerja jentera masing-masing;  serta bersama-sama membantu menubuhkan Kerajaan Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka.

“Ini bermakna bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor 2022, Amanah, DAP dan Muda bakal bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya – walaupun Muda tidak menyertai Pakatan Harapan (PH).

“Ini serasi dengan prinsip “khemah besar” untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan BN/PN,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut rundingan antara Muda dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN ini.

“Pimpinan Amanah, DAP dan Muda percaya bahawa pakatan pilihan yang dijalin menerusi rundingan ini akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang, selaras dengan agenda Johor Bangkit agar PRN Johor adalah untuk masa depan rakyat dan bukanlah perebutan kuasa dan jawatan.

“Rakyat Johor berhak mendapat kepimpinan yang mahukan Johor Bangkit menjadi sebuah negeri yang maju, beramanah, bermaruah dan berintegriti,” menurut kenyataan itu lagi.