KLUANG: DAP mengumumkan peguam muda, Chu Poh Yee, 33, sebagai calon pertamanya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pengumuman itu menyaksikan penyandang kerusi berkenaan, Chew Chong Sin yang telah berkhidmat selama dua penggal, beralih arah bagi memberikan laluan kepada muka baharu.
"Oleh kerana kita telah mengenal pasti penyandang kawasan ini (Chew) ada potensi untuk diketengahkan sebagai calon kawasan Parlimen,dan kebetulan Ahli Parlimen Labis sedia ada (Pang Hok Liong) menyatakan hasrat tidak bertanding, maka beliau bakal dicalonkan di Parlimen Labis pada Pilihan Raya Umum depan," katanya pada majlis pengumuman calon berkenaan, di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.
Loke berkata kepimpinan parti itu sepakat memilih Chu bagi mengisi kekosongan berkenaan memandangkan beliau mempunyai rekod cemerlang dalam membantu wakil rakyat tempatan mengendalikan kes-kes berkaitan bantuan guaman.
"Kita merasakan bahawa beliau seorang calon winnable (boleh menang) dan berkualiti dari segi pendidikan serta penguasaan bahasa. Yang paling penting, beliau ada hubung kait yang rapat dengan kawasan Mengkibol ini.
"Ini adalah selari dengan hasrat parti untuk memberikan lebih banyak peluang kepada calon-calon wanita," katanya.
Dalam pada itu, Loke turut mengesahkan bahawa jawatankuasa pemilihan parti telah memuktamadkan senarai pencalonan DAP bagi bertanding di 17 kerusi DUN pada PRN Johor kali ini.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi 10 kerusi penyandang, termasuk DUN Mengkibol, empat kerusi tewas yang akan ditandingi semula, serta tiga kerusi tambahan.
"Sabtu ini saya akan umumkan empat lagi calon untuk DUN Tiram, Johor Jaya, Senai, dan juga Bukit Permai.
"Yang selebihnya akan diumumkan bersama-sama dengan calon Pakatan Harapan (PH) yang lain pada Isnin ini, yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya.
-- BERNAMA