KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kesan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terhadap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah amat besar terutama dalam menyelesaikan kes dihadapi 'Kluster Mahkamah'.

Bekas Perdana Menteri itu dalam satu surat terbuka kepada pengundi Johor mendakwa, PRN tersebut telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai 'Kluster Mahkamah' itu serta kleptokrat daripada UMNO.

Dakwa beliau lagi, tujuan kumpulan tersebut ialah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum PRU15 nanti.

"Perancangan mereka ialah apabila menang di PRU nanti, mereka akan dapat menggunakan kedudukan untuk menyelesaikan kes-kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat.

"Ada pengundi yang berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor.

"Memang benar tetapi mereka yang bertanding di atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat," dakwanya dalam surat tersebut pada Selasa.


SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Perjuang) berkata, adalah amat penting untuk pilihan dibuat bagi  menentukan parti mana yang akan menerajui Johor kelak.

Kata Dr Mahathir, ini kerana ia bukan sahaja akan memberi kebaikan kepada rakyat, bahkan juga tidak merugikan bangsa, agama serta tanah air.

Beliau menambah rakyat negeri itu telah menolak calon-calon UMNO dan BN pada PRU14 2018 berikutan parti Melayu itu tidak mahu bertindak dan mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan.

Sebaliknya, ahli-ahli parti itu mempertahankan Ahli Parlimen Pekan itu, katanya.

"Kali ini, mereka masih lagi mempertahankan kleptokrat. Kerana itu parti saya, Pejuang menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat kleptokrat dan Kluster Mahkamah mencapai perancangan mereka.

"Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka," kata Dr Mahathir.