MERSING : Gelombang pertukaran akan berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh sekiranya pemilihan dibuat berasaskan etnik.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Wahid berkata, kebanyakan parti politik juga dilihat menggunakan strategi itu bagi memperoleh kelebihan di kawasan tertentu.

“Banyak strategi menggunakan undi berasaskan etnik dan itu yang berlaku di N.33 kerana majoriti pengundi dalam kalangan masyarakat Melayu tapi secara tradisinya Tenggaroh merupakan kawasan tradisi MIC.

“Kajian juga mendapati timbul suara dan protes dalam kalangan pengundi berapa lama untuk mereka tunggu untuk dapatkan calon tempatan di Tenggaroh,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon MIC, Raven Kumar Krishnasamy dilihat dalam keadaan bahaya sekiranya sentimen itu digunakan di kawasan terbabit meskipun selesa meyandang kerusi tersebut sekian lama.

Ujar Dr Hamidin, situasi itu yang bakal menyaksikan dinamika di Tenggaroh, khususnya melihat UMNO yang sebelum ini juga cuba meletakkan calonnya di kawasan itu.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Bemban pada pada PRN Melaka, kebanyakan parti yang bertanding meletakkan calon bukan Melayu di kawasan itu sedsngkan majoritinya adalah masyarakat Melayu.

Perikatan Nasional (PN) yang akhirnya memutuskan untuk meletakkan calon melayu di kawasan itu akhirnya berjaya memperoleh kemenangan di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, Dr Hamidin berpendapat, BN masih lagi jauh mengungguli didepan berbanding parti lain dari sudut meraih kepercayaan pengundi.

DUN Tenggaroh menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang sebelumnya, Raven Kumar Kishnasamy (BN), Zulinah A Johari (PKR), Roslan Nikmat (PN), dan Mohd Firdaus Abd Rahman (Pejuang).