MERSING : Kekurangan doktor pakar kembali hangat diperkatakan dalam kalangan penduduk di Mersing ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Isu yang sudah lapuk sekian lama sehingga kini masih belum menemukan jalan penyelesaian yang menyaksikan penduduk masih berdepan dengan dilema sama.

Sudahlah berada di kawasan yang disifatkan sebagai terpencil, penduduk juga seakan tertekan apabila terpaksa menempuh perjalanan beberapa jam ke Bandar Johor untuk mendapatkan rawatan.

Itu antara keluhan yang disuarakan seorang peniaga, Kausalia Gopalan yang sudah penat mengenang nasib yang tiada kesudahan setiap kali memikirkan soal perkhidmatan kesihatan yang sememangnya  penting terhadap penduduk.

“Bila ada kemalangan atau kes yang serius selalu akan serah ke hospital di Johor, sepatutnya tak perlu sebab isu-isu itu boleh diselesaikan di kawasan setempat.

“Kadang-kadang doktor yang ada pun tak tahu nak buat apa jadi mereka rujuk hospital di Johor, sepanjang perjalanan jauh macam-macam boleh berlaku jika ada kes serius,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sudahlah perlu menempuh perjalanan yang jauh, Susilah Kanan menyifatkan keadaan itu cukup membebankan rakyat yang terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.


Hospital Mersing yang dikatakan masih kekurangan doktor pakar


Ini termasuk dengan isu untuk mendapatkan janji temu dengan pihak doktor pakar untuk satu tempoh yang agak panjang.

“Saya sendiri memang ada masalah kesihatan jadi banyak perlu ulang alik dari Mersing ke Johor jadi ini susah.

“Kadang-kadang nak jumpa doktor pakar pun ambil masa 3 hingga 6 bulan jadi banyak kali kena ulang alik.

“Macam yang ada kenderaan tu ok la, saya guna bas jadi banyak la kos kena tanggung,” katanya.

Melihat kepada jumlah kepadatan penduduk di Mersing, hospital di bandar itu sememangnya ada namun penduduk mendakwa ia masih belum cukup untuk menampung kes sedia ada khususnya penyakit kronik.

Apa yang diharapkan agar pemimpin yang bakal meneraju bandar Mersing ini mampu untuk membawa perubahan terhadap isu hospital yang sekian lama berlarutan tanpa penyelesaian.