KUALA LUMPUR: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan parti itu meminta tiga kerusi untuk ditandingi dalam rundingan bersama PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, jelasnya rundingan itu dilakukan secara tertutup dan tidak perlu dimaklumkan kepada umum.

"Selalunya rundingan dibuat secara tertutup, saya pun ada maklumkan perkara ini dibincangkan secara tertutup... tapi Muda berikan maklum balas terhadap nama (kerusi) kepada sahabat PKR dan Muda pun dalam rundingan hanya memohon tiga kerusi.

"Tapi yang penting ia dibincangkan secara tertutup dan bukannya umum," jelasnya dalam sidang media selepas pelancaran parti itu di ibu negara pada Jumaat malam.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, sebelum ini dilapor berkata, parti itu menawarkan tiga kerusi kepada Muda dalam mendepani PRN Johor, hasil daripada beberapa siri rundingan bersama Muda sebelum ini.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pemimpin PKR yang meminta Muda memulangkan semula kerusi Puteri Wangsa yang diberikan Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq berkata perjanjian persefahaman sudah ditandatangani bersama Amanah dan DAP.

"Muda ini merupakan parti yang ditubuhkan sendiri, kami juga telah menandatangani persefahaman politik dengan Amanah dan DAP, kita akan pertahankannya.

"Kita akan pertahankan apa yang telah kita tandatangani dalam persefahaman politik itu," katanya lagi.

DAP dan Amanah sebelum ini dilapor bersetuju memberikan enam kerusi DUN Johor kepada Muda termasuk kerusi Puteri Wangsa.

Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama ditandatangani, Syed Saddiq, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.