PAGOH: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan bermesyuarat esok bagi menentukan calon Menteri Besar Johor sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata senarai nama melibatkan semua calon daripada parti komponen PN termasuk Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Gerakan dan Pas sudah disenarai pendek.

Jelasnya, ketika ini proses penilaian sedang dilakukan sebelum pengumuman dibuat, selepas mendapat kata sepakat daripada barisan majlis tertinggi parti.

“Majlis Tertinggi PN akan mengadakan mesyuarat esok hari dan selepas itu baru kita akan tentukan siapa yang lebih baik atau patut diketengahkan sebagai calon.

“Buat masa ini kita sedang menilai kerana hendak memilih untuk menjadi menteri besar ini mesti dilihat menerusi beberapa kriteria tertentu termasuk pengalaman yang ada pada mereka untuk menguruskan negeri ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan ‘walkabout’ di sekitar pekan Pagoh bersama calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga bekas menteri besar Johor.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berpuas hati dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tujuh hari berkempen oleh parti-parti politik.

“Memang setiap hari saya mengikuti setiap laporan yang dilakukan oleh pelbagai parti politik, tetapi pada saya tidaklah menjadi satu isu besar kerana bagi saya kesalahan yang dilakukan seperti satu parti menuduh orang sana sini itu satu perkara biasa.

“(Sebelum ini) ada kekeliruan seperti ada yang kata tidak boleh ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan kemudian boleh pula, perkara seperti itu telah kita selesaikan dan saya harap minggu kedua ini mereka (parti) yang terlibat tidak melanggar SOP ditetapkan,”tambahnya.

Katanya, beliau turut mengharapkan semua calon mempunyai sikap keterbukaan  dari segi menyantuni pengundi supaya rakyat lebih memahami apa mesej utama yang ingin mereka bawa melalui pilihan raya ini.