Skip to main content

Politik

PRN Johor: Parti Rafizi Ramli boleh pecah undi PH, untungkan BN, PN - MAPAN

41691848471_PRNPilihanRayaNe.jpg
Dr Mashitah berkata, dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, risiko pecah undi memang nyata. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tindakan parti Kancil pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli yang bertanding sehingga 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan menyebabkan undi penyokong Pakatan Harapan (PH) terbahagi kepada dua sehingga memberi kelebihan kepada lawan, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, risiko pecah undi memang nyata.

Katanya, jika sebahagian pengundi PH yang kecewa terhadap Kerajaan Madani memilih Parti Bersama sebagai undi protes, undi PH boleh berkurang dan peluang BN khasnya mahupun PN meningkat, terutama di kerusi majoriti kecil.

“Dari sudut ini, kehadiran Bersama memang boleh meletakkan PH, khususnya PKR, dalam kedudukan lebih genting.

“Taktik Bersama menarik kerana ia tidak hanya menjual nama Rafizi. Parti ini mempertaruhkan calon daripada pelbagai latar, dari doktor, peguam, arkitek, usahawan muda, profesional minyak dan gas, penggiat masyarakat, aktivis, pengurus kemudahan, bekas petugas pusat khidmat rakyat ke anak muda Felda.

“Ini memberi mesej bahawa politik tidak semestinya milik elit parti semata-mata,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr. Mashitah berkata, lebih penting, Bersama cuba menaikkan standard integriti pilihan raya apabila kesemua 15 calon diminta mengisytiharkan harta, pendapatan, hutang dan perbelanjaan secara akuan bersumpah.

Katanya, calon juga dikaitkan dengan aku janji integriti, termasuk komitmen tidak melompat parti.

“Bersama turut menonjolkan kutipan dana awam secara terbuka. Ini satu lagi naratif yang kuat.

“Ia mahu membuktikan politik boleh digerakkan melalui sumbangan rakyat biasa, bukan hanya dana besar daripada kelompok berkepentingan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, dari segi strategi, 15 kerusi yang dipilih juga terletak di bandar, separa bandar dan koridor ekonomi Johor Selatan seperti Johor Bahru, Tebrau, Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Kulai.

Jelasnya, kawasan seperti Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Batu dan Senai mempunyai pengundi urban yang lebih sensitif terhadap isu kos sara hidup, rumah, pekerjaan, kesesakan trafik, integriti dan prestasi wakil rakyat.

“Bersama tidak hanya mencabar PH. Ia turut masuk ke kawasan yang mempunyai pengaruh BN dan PN. Ini mengelakkan persepsi bahawa Bersama hanya mahu melemahkan PH.

“Sebaliknya, parti ini mahu menampilkan dirinya sebagai alternatif kepada keseluruhan politik lama,” katanya.

Namun begitu, katanya, cabarannya tetap besar apabila parti baharu biasanya lemah dari segi jentera, pengenalan logo dan akar umbi.

“Persoalannya, adakah populariti Rafizi boleh diterjemahkan kepada undi calon tempatan? Adakah pengundi cukup mengenali calon Bersama dalam tempoh kempen singkat?

“Adakah pengisytiharan harta dan dana awam cukup kuat untuk menandingi jentera parti lama?” soalnya.

Menurut beliau, bagi PH, kemunculan Bersama harus dibaca sebagai amaran politik dan jika benar ada penyokong PH mahu memprotes melalui Bersama, maka PH tidak cukup sekadar menyebut ‘pecah undi’.

Katanya, PH perlu bertanya mengapa sebahagian penyokongnya kecewa dan undi protes perlu dipujuk dengan prestasi, reformasi dan keyakinan.

“Bagi BN dan PN pula, kehadiran Bersama mungkin memberi peluang taktikal jika undi anti-BN atau anti-PN berpecah.

“Tetapi mereka juga tidak boleh terlalu selesa. Dalam pertandingan banyak penjuru, parti kecil boleh menjadi penentu besar. Bersama belum tentu akan menang tetapi ia boleh menentukan siapa yang kalah,” katanya

Kesimpulannya, jelas beliau, kemunculan Bersama dalam PRN Johor bukan sekadar cerita pecah undi tetapi ia juga adalah ujian kepada selera politik baharu rakyat.

“Dengan calon berwibawa, pengisytiharan harta, tapisan integriti dan dana awam terbuka, BERSAMA sedang mencabar standard parti lama.

“Nilai sebenar Bersama bukan hanya pada jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi pada tekanan politik yang diwujudkan. Ia memaksa semua parti bercakap tentang calon, integriti, dana, ketelusan dan suara rakyat.

“Dalam politik Johor yang semakin kompetitif, Bersama menjadikan pertandingan lebih terbuka, lebih mencabar dan lebih sukar diramal,” katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement