PUTRAJAYA: Kemenangan parti politik menerusi beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dianggap sebagai sesuatu yang tidak baik untuk negara.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, kemenangan itu jelas membabitkan parti politik yang terlibat dengan jenayah berat sekali gus merosakkan negara.

Bahkan, apa yang dibimbangi Ahli Parlimen Langkawi itu ialah apakah pucuk pimpinan parti berkenaan akan memperbetulkan diri mereka atau sebaliknya.

“Besar kemungkinan mereka tak dapat elak daripada bergantung kepada rasuah untuk kekalkan diri mereka dan besar kemungkinan pemulihan negara sukar jika mereka disokong kerana rasuah,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di sini, pada Jumaat.

Mengulas mengenai kekalahan besar Pejuang pada PRN Johor, Dr Mahathir mengakui kelemahan parti yang diasaskannya selain menganggap Pejuang hanya fokus terhadap isu rasuah berbanding soal rakyat.

Kekalahan Pejuang juga, kata Dr Mahathir, disebabkan parti berkenaan tidak mempunyai ruang mencukupi untuk membuat persiapan berdepan dengan PRN Johor.

“Perkara ini (isu rakyat) tak diberi penekanan punca pengundi tak tertarik dengan hujah kita mengenai rasuah.

“Kita sedar PRN diadakan dalam masa yang pendek dan kita tak mempunyai masa banyak untuk lakukan persiapan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai Pejuang akan membentuk kerjasama dengan parti lain, bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu perlu dikaji berikutan pengalaman sebelum ini hanya membawa kepada kesan yang buruk.

Pada PRN Johor, Pejuang kalah di semua 42 kerusi yang dipertandingkan selain hilang wang deposit.

Sementara Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri apabila memenangi di 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Harapan (PH) pula berjaya menawan 11 kerusi, Perikatan Nasional (3 kerusi), PKR (1 kerusi) dan MUDA (1 kerusi).