Skip to main content

Politik

PRN Johor: Pas ikhlas bantu BN, jaminan bukan keutamaan – Hadi Awang

HADI AWANG PAS
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata partinya tidak memerlukan sebarang jaminan bertulis untuk membantu UMNO, sebaliknya hubungan yang dibina atas dasar keikhlasan sebagai asas utama. - Astro AWANI
Advertisement

MUAR: Keikhlasan dan kepercayaan disifatkan lebih penting daripada sebarang jaminan rasmi dalam menentukan kerjasama politik antara Pas dan UMNO.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata partinya tidak memerlukan sebarang jaminan bertulis untuk membantu UMNO, sebaliknya hubungan yang dibina atas dasar keikhlasan sebagai asas utama.

“Yang penting jaminan dari hati ke hati. Kalau bersumpah sekali pun, kalau tak ada hati, tak ada makna. Ikhlaslah maksudnya. Pas ikhlas nak bantu,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan Pas di Johor, Abdul Hadi mengakui parti itu tidak mempunyai pengaruh yang begitu besar di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata Pas tetap komited membantu rakan politiknya dengan memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi yang memerlukan sokongan tambahan.

“Memang kita tak kuat sangat di Johor, tetapi kita akan menampung mana-mana kerusi yang diperlukan oleh BN,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Grand Finale Perikatan Nasional PRN Johor 2026, di sini, pada Rabu.

Pada Ahad lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata sokongan Pas kepada BN dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2026 tidak memberi jaminan akan wujud kerjasama politik antara parti itu dengan UMNO selepas hari pengundian pada 11 Julai nanti.

Menurut beliau, BN menghargai pendirian dan sokongan yang diberikan kepimpinan Pas, namun ia tidak akan mempengaruhi hala tuju atau keputusan UMNO dan BN mengenai sebarang bentuk kerjasama selepas pilihan raya.

“Kita tidak merasakan bahawa sokongan itu akan mempengaruhi kerjasama yang akan atau telah dibuat oleh UMNO khususnya dengan Pas.

“Kita menghormati pendirian mereka dan kita harap sokongan itu benar-benar menjadi kenyataan. Kita lihat di dalam kertas undi yang akan dibuka pada 11 Julai ini,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement