Skip to main content

Politik

PRN Johor: Pasar tani makin sunyi, peniaga kecil terus bertahan

Pasar Tani Bukit Gambir
Peniaga Pasar Tani Kekal Bukit Gambir mendakwa jumlah pelanggan semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

TANGKAK: Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin memuncak, masih ada suara rakyat yang tidak meminta janji baharu, sebaliknya penyelesaian terhadap masalah yang telah lama membelenggu kehidupan mereka.

Bagi peniaga di Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, persoalannya bukan lagi mengenai siapa yang bakal dipilih mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, sebaliknya siapa yang benar-benar mampu menghidupkan semula nadi rezeki yang semakin malap.

Suatu ketika dahulu, deretan gerai di pasar berkenaan menjadi antara lokasi tumpuan penduduk sekitar mendapatkan barangan basah, dan keperluan harian, namun suasana itu semakin berubah.

Sebahagian peniaga mendakwa jumlah pelanggan semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga ada yang sekadar memperoleh pendapatan mencukupi untuk menampung kos operasi harian.

Mereka mengakui kehadiran semakin banyak pasar raya dan premis runcit moden di sekitar Bukit Gambir mewujudkan persaingan yang sukar ditandingi, terutama apabila pengguna memilih membeli-belah di pasar raya yang menawarkan harga lebih murah, selain kemudahan yang lebih selesa.

Image
Pasar Tani
Dari kiri: Syamsul, Azlinda dan Zainal.


Seorang peniaga, Zainal Aziz, 34, berkata keadaan perniagaan semakin perlahan sejak beberapa tahun lalu, malah ada peniaga yang terpaksa menutup operasi kerana tidak lagi mampu bertahan.

“Biasanya Isnin, Selasa, Rabu memang ada pelanggan, tapi perlahan. Pagi orang hantar anak sekolah (kemudian singgah), kemudian sekitar pukul 10 atau 11 ada juga orang datang, tapi tetap perlahan.

“Sekarang keliling dah banyak pasar raya, kita bertahan sajalah. Ada juga (peniaga) yang terpaksa tutup kedai sebab tak boleh tahan (kos operasi),” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Selain persaingan daripada pasar raya, peniaga turut mendakwa perubahan sistem laluan jalan berhampiran pasar berkenaan memberi kesan langsung kepada kehadiran pelanggan.

Mereka mendakwa pengguna kini perlu membuat pusingan U yang lebih jauh untuk memasuki kawasan pasar, sekali gus menyebabkan ramai memilih untuk tidak singgah.

Seorang lagi peniaga, Syamsul Bahri Sati, 69,, berharap pihak berkuasa menilai semula reka bentuk laluan masuk ke pasar bagi memudahkan orang ramai berkunjung.

“Sekarang sejak jalan ini dibuat macam ini, memang agak susah dan alasan yang diberi oleh pihak berkuasa sebab banyak kemalangan, tapi setahu saya hanya satu dua kes sahaja.

“Kami cuma minta laluan masuk dipermudahkan. Bila jalan ditutup macam ini, perniagaan orang Melayu yang terkesan,” katanya.

Bukan hanya peniaga, malah pekerja yang bergantung kepada operasi pasar itu turut merasai kesan kemerosotan jumlah pengunjung.

Pekerja pembersihan, Azlinda Daud, 51, berkata keadaan ekonomi semasa menyebabkan pengguna lebih berhati-hati dalam berbelanja, manakala persaingan daripada pasar raya dan perubahan laluan jalan terus memberi tekanan kepada peniaga kecil.

“Ekonomi sekarang pun tak berapa stabil dan pengguna fikir banyak kali sebelum berbelanja. Pasar tani pula terpaksa bersaing dengan banyak pasar raya. Ditambah pula keadaan jalan yang sudah ditutup sebahagiannya, orang fikir dua kali nak keluar masuk ke sini,” katanya.

Dengan kempen PRN Johor kini memasuki fasa akhir, peniaga berharap suara mereka tidak hanya didengari ketika musim pilihan raya.

Sebaliknya, mereka mahu wakil rakyat yang bakal dipilih mewakili DUN Gambir memberi perhatian serius terhadap isu yang telah lama membelenggu mereka, termasuk meningkatkan daya saing peniaga kecil serta meneliti semula aspek akses dan kemudahan ke Pasar Tani Kekal Bukit Gambir.

Bagi mereka, soal siapa yang menang bukan lagi keutamaan.

Apa yang lebih penting ialah memastikan nasib peniaga kecil tidak terus dipinggirkan dan setiap janji yang ditaburkan sepanjang kempen diterjemahkan kepada tindakan selepas pilihan raya.

Pada PRN Johor kali ini, DUN Gambir menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Sahrihan Jani, calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nor Mohd Yusof, dan calon Perikatan Nasional (PN), Suraya Sulaiman.


 

Must Watch Video

Advertisement